KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Kerajaan menegaskan bahawa pengisian kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan akan dilaksanakan dengan mematuhi sepenuhnya Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pengisian kedua-dua jawatan itu akan mengikut Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa pelantikan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
“Perkara ini selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara yang wajib dipatuhi oleh semua pihak. Ini juga mencerminkan prinsip Raja Berperlembagaan yang menjadi tunjang pentadbiran negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azalina berkata dalam hal ini, Majlis Raja-Raja akan bersidang bagi Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 yang dijadualkan berlangsung pada 15 hingga 17 Julai ini.
Beliau memaklumkan Jemaah Menteri pada hari ini telah membincangkan isu kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan serta mengambil maklum sepenuhnya akan perhatian dan kebimbangan orang ramai mengenai perkara itu.
Menurut Azalina kerajaan amat memahami keprihatinan rakyat tentang pentingnya memelihara kelangsungan dan integriti institusi kehakiman sebagai tunjang kedaulatan undang-undang.
Beliau berkata Kerajaan MADANI kekal komited untuk memperkukuh keyakinan awam terhadap institusi kehakiman termasuk dengan meneliti langkah penambahbaikan jangka panjang ke arah meningkatkan ketelusan dan kebebasan badan kehakiman.
“Kerajaan juga ingin menyeru semua pihak memberi ruang agar proses yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan dapat berjalan dengan lancar dan sewajarnya demi kepentingan negara, kedaulatan undang-undang dan kestabilan institusi,” katanya.
Dalam pada itu, Azalina berkata Hakim Besar Malaya Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim menjalankan kuasa dan tugas jawatan Ketua Hakim Negara (termasuk fungsinya di bawah Perlembagaan) sehingga jawatan itu diisi.
Pelantikan itu, katanya selaras dengan Perkara 131A Perlembagaan Persekutuan serta perenggan 9(1)(b) dan subseksyen 9(3) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 bagi memastikan kelangsungan pentadbiran keadilan negara.
Jawatan Ketua Hakim Negara kosong selepas Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang juga wanita pertama memegang jawatan tertinggi kehakiman itu bersara wajib pada 2 Julai lepas manakala Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim bersara wajib daripada jawatan Presiden Mahkamah Rayuan pada 3 Julai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial