Oleh Muhammad Faiz Baharin dan Samantha Tan
KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Algeria dan Uruguay merakamkan penghargaan yang tinggi terhadap Malaysia dan negara anggota ASEAN kerana menyokong penyertaan mereka dalam Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC), sambil menyifatkan langkah itu penting ke arah peningkatan kerjasama pelbagai hala dan kestabilan global.
Menteri Hal Ehwal Luar Algeria dan Komuniti Kebangsaan di Luar Negara Ahmed Attaf berkata penyertaan Algeria dalam TAC akan menyuntik dinamik baharu dalam hubungan dua hala yang sedia terjalin dengan negara ASEAN, selain membolehkan negara itu mempelajari model kerjasama dan integrasi serantau ASEAN yang berjaya.
“Kami amat berterima kasih kepada Malaysia dan semua negara ASEAN. Penyertaan Algeria dalam TAC membolehkan kami memperluas dan memperkukuh hubungan dengan negara sahabat di rantau ini.
“Kita sedang melalui masa yang sukar di peringkat antarabangsa dan global, kami percaya bahawa usaha seperti ini membantu menstabilkan tatanan dunia berasaskan kedaulatan undang-undang, menghormati Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan yang paling penting, menghormati kepentingan bersama. Inilah yang diperjuangkan oleh ASEAN,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani TAC yang diadakan di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, Khamis.
Majlis pemeteraian perjanjian itu disaksikan oleh Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan.
Turut hadir menteri-menteri luar ASEAN lain termasuk dari Timor-Leste, sebagai tanda kesepakatan ASEAN dalam mengalu-alukan penyertaan ahli baharu perjanjian itu.
Sementara itu, Menteri Luar Uruguay Mario Lubetkin menyifatkan lawatannya ke Malaysia sebagai bersejarah kerana ia merupakan kunjungan rasmi pertama seumpamanya, sambil menekankan keperluan Amerika Latin untuk memperbaharui semula hubungan dengan ASEAN.
“Ini bukan sekadar soal keinginan, tetapi satu keperluan bagi kami. Dan kami yakin ASEAN juga memerlukannya. Kita berada pada masa yang penting sekarang, ketika ramai yang tidak lagi memikirkan tentang peranan multilateralisme,” katanya.
Beliau berkata Uruguay komited untuk mempertahankan multilateralisme, kedaulatan, keamanan dan pembangunan mampan, serta bekerjasama menangani isu alam sekitar dan perubahan iklim.
“Ia adalah langkah bijak untuk Asia, dan juga untuk Afrika. Namun, kita masih belum bekerjasama seperti yang sepatutnya. Kita perlu melakukan perubahan dan mula bekerjasama,” katanya.
Beliau turut menyeru negara-negara Selatan Global untuk menyatukan usaha, pengetahuan dan sumber dalam membina tatanan antarabangsa yang lebih adil, bermula dengan kerjasama Selatan-Selatan yang lebih kukuh melalui platform yang diterajui ASEAN.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial