AM

Ibu Tunggal Terpaksa Guna Wang PTPTN Anak Tampung Belanja Harian

09/07/2025 05:20 PM

DUNGUN, 9 Julai (Bernama) -- Kesempitan hidup memaksa seorang ibu tunggal menggunakan wang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) anaknya untuk membeli barang dapur dan menampung perbelanjaan harian.

Zailawati Ismail, 41, dari Kampung dari Felda Jerangau berkata kehidupan mereka sekeluarga berubah selepas suaminya, Ramli Mat Rahim meninggal dunia dua tahun lepas akibat ditimpa dahan pokok ketika melakukan kerja menebang.

Wanita yang menghidap penyakit endometriosis kronik itu berkata dia terpaksa menggunakan wang pinjaman PTPTN anak sulungnya Nur Aina Najiha Ramli, 19, yang menuntut di sebuah kolej swasta di Kuantan, Pahang untuk membeli barangan keperluan dan kos berulang-alik ke hospital.

"Saya tidak dapat melakukan kerja berat selepas disahkan endometriosis kronik enam tahun lepas, segala pergerakan dan keupayaan terbatas.

"Kami sekeluarga sudah biasa ikat perut, kebanyakan masa hanya makan nasi berlauk kicap kerana tidak ada duit," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ibu kepada tiga cahaya mata berusia 12 hingga 19 tahun itu berkata mereka sekeluarga kini hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan.

Zailawati berkata bantuan itu tidak cukup menampung perbelanjaan kerana dia mempunyai dua lagi anak yang bersekolah.

"Anak lelaki saya Mohd Aiman Haikal (16 tahun) mengambil upah mesin rumput dan mengait kelapa sawit selepas sekolah untuk bantu tampung perbelanjaan.

"Baru-baru ini, anak bongsu Nur Alia Batrisya (12 tahun) patah kaki kiri selepas terjatuh ketika bermain bola jaring di sekolah," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Zailawati di talian 013-9332122.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan