KUANTAN, 9 Julai (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini memperluas radius operasi mencari dan menyelamat (SAR) hingga lima kilometer bagi mengesan Muhammad Isyraf Danish Razmi, 15, yang dikhuatiri lemas ketika memancing di Sungai Kuantan, berhampiran Jalan Indera Mahkota 15/7.
Pengarah JBPM Pahang Mohd Razam Taja Rahim berkata operasi yang bermula 8 pagi tadI melibatkan 42 anggota pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Perhilitan, selain penggunaan bot dan dron.
Beliau turut menafikan dakwaan bahawa mangsa dibaham buaya, sebaliknya menyatakan mangsa dipercayai tergelincir ke dalam sungai berikutan tebing licin dan struktur tanah yang tidak kukuh.
“Tiada laporan mengenai serangan buaya, hanya bunyi kocakan air ketika mangsa terjatuh,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.
Mohd Razam turut menasihati orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh menambah kegusaran keluarga mangsa dan penduduk setempat.
Sementara itu, bapa mangsa, Razmi Yaacob, 56, berkata beliau tidak mengetahui anaknya keluar memancing kerana kebiasaannya remaja itu bermain bola pada waktu petang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial