KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- ASEAN perlu memastikan penyelarasan yang lebih padu antara dasar luar dan ekonominya bagi memperkukuh perpaduan serantau dalam persekitaran ketegangan geopolitik dan perdagangan yang semakin meningkat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata menteri-menteri luar dan ekonomi ASEAN perlu bergerak seiring dalam menghadapi cabaran, sambil menekankan bahawa sinergi sedemikian penting bagi menterjemahkan perpaduan ASEAN kepada hasil yang nyata.
Menonjolkan perubahan landskap global, Anwar memberi amaran bahawa alat yang secara tradisinya digunakan untuk menggalakkan pertumbuhan, termasuk perdagangan dan pelaburan, kini semakin digunakan untuk memberikan tekanan politik dan memecahkan kerjasama global.
“Trend ini bukan masalah untuk sementara waktu, tetapi merupakan cabaran baharu ketika ini,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 di sini pada Rabu.
Anwar berkata kuasa sentiasa mempengaruhi perdagangan, tetapi pada hari ini, kuasa semakin mentakrifkan perdagangan, sambil memetik peningkatan tarif, sekatan eksport dan halangan pelaburan sebagai instrumen persaingan geopolitik.
Dalam keadaan ini, beliau berkata ASEAN mesti berdepan dengan realiti masa kini dengan “kejelasan dan keyakinan,” memastikan perpaduan bukan sahaja dizahirkan dalam pengisytiharan tetapi turut tersemat dalam institusi, strategi dan proses membuat keputusan.
“Keperluan ini selaras sepenuhnya dengan Visi Komuniti ASEAN 2045 menyeru sinergi lebih erat merentasi tonggak dan sektor, kita mesti membina amalan penyelarasan yang sepadan dengan realiti yang sedang kita hadapi,” kata Anwar.
Pada Isnin, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mula menghantar surat perdagangan kepada kerajaan asing, menggariskan kadar tarif baharu ke atas import ke AS.
Dalam kalangan negara anggota ASEAN, Indonesia dikenakan tarif sebanyak 32 peratus, Thailand dan Kemboja masing-masing 36 peratus, manakala Malaysia akan dikenakan tarif 25 peratus. Kadar tarif tertinggi iaitu 40 peratus dikenakan ke atas Laos dan Myanmar.
Anwar turut menggesa ASEAN memperkukuh integrasi dalaman dengan mengembangkan perdagangan dan pelaburan intraserantau serta mempercepatkan integrasi sektoral bagi meningkatkan daya tahan dan kerelevanan.
“Untuk membina ekonomi ASEAN yang lebih kukuh dan lebih berhubung adalah satu kemestian strategik yang akan menambat perkaitan dan daya tahan kita untuk beberapa dekad akan datang,” katanya.
Anwar turut menolak pandangan bahawa Asia Tenggara perlu tunduk kepada pengaruh kuasa luar, sambil menegaskan ASEAN mesti menentukan haluannya sendiri secara bersepadu dan konsisten.
“Kita adalah rantau yang menentukan haluannya sendiri – secara bersepadu, konsisten dan dengan matlamat yang jelas. ASEAN tidak akan membenarkan orang lain bercakap bagi pihaknya tanpa kehadirannya,” katanya.
Sambil mengakui ketidaktentuan global, Anwar berkata ASEAN mesti terus melaksanakan kerjasama praktikal yang memberi impak nyata, dengan memberi keutamaan kepada kesalinghubungan, keselamatan makanan, transformasi digital, pendidikan, kesihatan awam dan daya tahan iklim.
Beliau turut menyentuh mengenai kehidupan rakyat marhaen di rantau ini, daripada seorang ibu di Battambang kepada seorang petani di Luzon Tengah dan seorang kanak-kanak di Chiang Rai, bagi menggambarkan bahawa usaha ASEAN akhirnya mesti memberi manfaat kepada rakyatnya.
“Daripada Sittwe ke Merauke, daripada Da Nang ke Dili, rantau kita boleh menjadi lebih aman dan makmur jika kita mempunyai keberanian untuk melihat ASEAN bukan sebagai negara yang bergerak secara selari tetapi sebagai satu komuniti bergerak dengan matlamat jelas,” katanya.
Turut hadir Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, menteri-menteri luar negara anggota ASEAN dan Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.
AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang sedang berlangsung, diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial