AM

MYFutureJobs Diiktiraf Sebagai Model Pekerjaan Digital Di Bengkel OIC

08/07/2025 05:23 PM

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Platform tempatan pemadanan pekerjaan MYFutureJobs telah diiktiraf sebagai model platform pekerjaan digital dalam kalangan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam, hari ini.

Bercakap di Bengkel OIC mengenai Memperkasa Pencari Kerja: Amalan Terbaik Platform Digital, Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata platform itu telah mencapai kadar kejayaan penempatan pekerjaan sebanyak 60 hingga 70 peratus setiap tahun sejak dilancarkan pada 2020.

"Secara purata, platform itu menawarkan antara 1.5 juta dan 2 juta penyenaraian pekerjaan setiap tahun, mendaftarkan kira-kira 500,000 pencari kerja. Dari Januari hingga Mei tahun ini, MYFutureJobs merekodkan 111,459 pencari kerja berdaftar, lebih 633,000 kekosongan yang diiklankan dan lebih 74,000 individu ditempatkan ke dalam pekerjaan.

“Angka-angka ini penting kerana bukan sahaja kami memenuhi peranan sebagai penyedia perkhidmatan pekerjaan awam, tetapi data besar yang dikumpul selama ini juga memberikan gambaran tentang trend pasaran buruh,” katanya dalam ucaptama pada bengkel dua hari yang dianjurkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di sini hari ini.

Sim juga menjelaskan bahawa baki 30 peratus pengguna berdaftar yang tidak mendapat pekerjaan tidak boleh dianggap tidak berjaya, kerana kebanyakan mereka menggunakan platform itu untuk meneroka peluang dan bukannya mencari pekerjaan secara aktif.

Beliau menyatakan bahawa MYFutureJobs, yang dikuasakan kecerdasan buatan (AI) dan data masa nyata, telah menambah baik penempatan pekerjaan dengan memadankan pencari kerja dengan majikan secara cekap, sambil turut membantu merapatkan jurang kemahiran dan menjamin tenaga kerja Malaysia masa depan.

Sim berkata dengan pelbagai inisiatif kementerian dan kerajaan MADANI, kadar pengangguran Malaysia menurun ke paras terendah 10 tahun pada 3.1 peratus manakala guna tenaga tidak penuh meningkat 34.3 peratus.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa walaupun AI membolehkan pertumbuhan, meningkatkan produktiviti dan mengubah sifat pekerjaan, ia juga membawa risiko, termasuk potensi untuk meningkatkan kecekapan aktiviti jenayah dan penipuan serta mengganggu pasaran buruh.

Beliau juga mengulangi laporan kementerian tahun lepas iaitu kira-kira 600,000 pekerjaan akan terjejas disebabkan AI dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang namun pada masa sama, ratusan ribu pekerjaan baharu mungkin muncul menerusi AI. 

Sim turut menyaksikan pemeteraian dua memorandum persefahaman (MoU) antara Perkeso dan Agensi Pekerjaan Negeri (SEA) Azerbaijan serta Agensi Pekerjaan Turki (ISKUR) selepas merasmikan bengkel.

Sementara itu, Pengerusi Perkeso Datuk Seri Subahan Kamal dalam ucapan perasmiannya menekankan keperluan mendesak untuk memerangi ancaman penipuan pekerjaan yang semakin meningkat, yang mengeksploitasi pencari kerja dan menghakis kepercayaan orang ramai terhadap platform pekerjaan digital.

“Membanteras amalan penipuan tersebut memerlukan pendekatan yang diselaraskan, melibatkan langkah keselamatan siber yang kukuh, kempen kesedaran awam, mekanisme pengesahan dan penguatkuasaan yang tepat pada masanya.

"Menerusi kerjasama yang teguh dan pertukaran amalan terbaik, alatan dan strategi, negara anggota Jaringan Kerjasama Perkhidmatan Pekerjaan Awam OIC (OIC-PESNET) boleh menangani penipuan pekerjaan dengan lebih berkesan. Usaha kerjasama ini akan menjamin pasaran buruh, melindungi rakyat dan mengekalkan integriti sistem pekerjaan," katanya.

Ketua Pengarah Pusat Penyelidikan dan Latihan Statistik, Ekonomi dan Sosial bagi Negara Islam (SESRIC) Zehra Zumrut Selcuk berkata negara OIC mempunyai kehadiran tenaga buruh yang ketara, dengan gabungan populasi melebihi dua bilion.

Beliau berkata tenaga buruh negara OIC dalam pentas global telah meningkat daripada 19 kepada 21 peratus sejak sedekad lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan