AM

Letusan Gunung Lewotobi Di Indonesia, CAAM Nasihat Pengembara Semak Jadual Penerbangan

08/07/2025 03:43 PM

PUTRAJAYA, 8 Julai (Bernama) -- Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menasihatkan semua pengembara yang dijadualkan berlepas pada hari ini supaya membuat semakan dengan syarikat penerbangan masing-masing susulan letusan Gunung Lewotobi Laki-Laki di Indonesia.

Dalam nasihat perjalanan yang dikeluarkan hari ini, CAAM menggesa penumpang untuk sentiasa mengikuti perkembangan terkini dan memantau pengumuman rasmi syarikat penerbangan berhubung kemungkinan sebarang gangguan. 

“Semua pengembara dinasihatkan menghubungi syarikat penerbangan masing-masing untuk sebarang makluman terkini berkaitan jadual penerbangan yang mungkin terjejas,” menurut kenyataan yang dimuat naik di media sosial hari ini.

Gunung Lewotobi Laki-Laki yang terletak di Flores Timur meletus pada 11.05 pagi waktu tempatan semalam.

Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi Indonesia menaikkan tahap amaran kepada Tahap Empat, iaitu yang tertinggi dalam skala amaran.

Penerbangan keluar dan masuk dari pulau berdekatan seperti Bali dan Labuan Bajo dilaporkan dibatalkan susulan kejadian itu. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan