KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan takziah kepada keluarga enam beranak yang ditemukan maut di dalam sebuah kereta yang tenggelam dalam Sungai Korok di Jitra, Kedah hari ini.
Ahmad Zahid berkata kejadian itu memberi kesan mendalam kepada seluruh rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi apabila melibatkan seisi keluarga termasuk anak-anak kecil.
“Pilu hati saya apabila mendengar berita mengenai tragedi yang menimpa enam sekeluarga yang ditemukan dalam kenderaan yang tenggelam di Sungai Korok, pagi tadi.
“Kepada seluruh keluarga dan waris, saya doakan kalian terus tabah menghadapi ujian ini. Sama-sama kita mendoakan semoga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan semua pihak yang bertungkus-lumus dalam usaha mencari dan menyelamat sejak insiden itu dilaporkan, serta mendoakan agar urusan mengenal pasti identiti dan pengurusan jenazah dipermudahkan.
Misteri kehilangan enam beranak sejak Sabtu lepas itu akhirnya terjawab apabila waris mengesahkan mayat yang ditemukan dalam kereta yang berada dalam Sungai Korok ialah keluarga berkenaan.
Mangsa ialah pasangan suami isteri, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta anak mereka Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan Tuah Haydar, 6 bulan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial