AM

Kami Tak Berhenti Cari Keluarga Abang Sejak Mereka Hilang

07/07/2025 04:16 PM

ALOR SETAR, 7 Julai (Bernama) -- "Kami sekeluarga tidak berhenti mencari abang, isteri dan empat anaknya sejak mereka hilang Sabtu lepas, sehinggalah kereta mereka dijumpai di dalam Sungai Korok pagi tadi," kata Muhammad Adlan Solehin Ishak.

Muhammad Adlan Solehin, 24, merupakan adik kepada Muhammad Azim Izat Ishak, 32, yang ditemukan maut bersama isterinya Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat anaknya Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan Tuah Haydar, enam bulan.

Mayat enam beranak yang dalam perjalanan pulang ke Jerlun dari rumah ahli keluarga di Taman Seri Aman di Jitra sejak Sabtu lepas, dijumpai di dalam kenderaan terbabit di Sungai Korok di Jitra pada pagi tadi.

Muhammad Adlan Solehin yang menetap di Perlis berkata dia mengetahui mengenai kehilangan keluarga abangnya itu selepas dimaklumkan oleh ahli keluarga yang lain, sebelum turut sama melakukan pencarian mangsa tanpa henti sejak Sabtu.

"Kali terakhir saya berjumpa dengan arwah abang pada pagi Jumaat, sehari sebelum kejadian, kami bersarapan sekali. Semalam pun, kami cari hingga malam, tetapi tiada sebarang petunjuk. 

"Pagi tadi, ada polis yang menghubungi dan meminta kami ke lokasi kejadian (di Sungai Korok) kerana mereka menemukan sebuah kereta di dalam sungai," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, di sini hari ini.

Muhammad Adlan Solehin berkata dia dan ahli keluarga kemudian mengesahkan bahawa kereta yang ditarik keluar oleh anggota bomba itu ialah kereta milik abangnya berdasarkan pengecaman beberapa pelekat di bahagian belakang kereta berkenaan.

"Saya dimaklumkan, apabila bomba buka pintu kereta sebelah bahagian pemandu, mereka memang menjumpai kesemua mayat mangsa di bahagian belakang kereta.

"Selepas buat pengecaman tadi, kesemua mayat dibawa menaiki trak dan saya turut berada di dalam trak berkenaan. Sekarang proses bedah siasat sedang dijalankan dan pihak hospital maklumkan paling awal selesai sebelum waktu maghrib," katanya.

Muhammad Adlan Solehin berkata kesemua jenazah akan dibawa pulang ke Jerlun untuk dikebumikan di sana, berhampiran kubur seorang lagi bayi Muhammad Azim Izat yang meninggal dunia Februari lepas.

"Arwah dapat pasangan kembar lelaki, tetapi yang abang meninggal dunia ketika dalam pantang, jika dikebumikan di situ, mereka akan 'bersatu' kembali sebagai tujuh beranak," katanya hiba.

Dalam pada itu, dia berkata pasangan berkenaan meninggalkan seorang anak sulung, Puteri Qisya Nur Izzat, 12, yang tidak mengikuti keluarga ke rumah saudara pada hari kejadian.

Sementara itu, sepupu kepada Muhammad Azim Izzat, Bashiroh A Hamid, 45, berkata arwah memang rapat dengan ahli keluarga dan tragedi itu memberikan kesan yang sangat mendalam buat mereka.

"Selepas mengetahui mengenai kehilangan keluarga mangsa, kami semua keluar mencari dan anak sulung arwah pun turut sama mencari ayah, ibu dan adik-adiknya,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan