KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) menjangka Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas (bps) pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang akan diadakan pada Rabu ini.
Menurut bank pelaburan itu dalam nota penyelidikan hari ini, walaupun data ekonomi semasa masih belum melepasi nilai ambang untuk penurunan, petunjuk awal momentum pertumbuhan yang lembap dan tekanan luaran yang meningkat mewajarkan langkah awal berikutan impak dasar dapat dilihat selepas tempoh tertentu.
“Kenyataan mesyuarat MPC pada Mei yang cenderung untuk menurunkan kadar telah membuka ruang kepada pelonggaran dasar oleh BNM. Dari aspek pengurusan risiko, kami percaya risiko melaksanakan penurunan terlalu lewat adalah lebih besar berbanding terlalu awal,” katanya.
Menurut Maybank IB, bon ringgit diniagakan tinggi minggu lepas, dengan keluk hasil antara mendatar dan tiga mata asas lebih rendah.
Sementara itu, bon tempatan ASEAN mengekalkan kenaikannya walaupun terdapat jualan dalam pelaburan selamat United Kingdom dan tekanan pasca data senarai gaji bukan ladang ke atas Perbendaharaan Amerika Syarikat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial