EKONOMI

Bank Muamalat Perkasa Kewangan Sosial Di Sabah

06/07/2025 12:49 AM

TAWAU, 5 Julai (Bernama) -- Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkasakan kewangan Islam sebagai pemacu sosioekonomi rakyat melalui peranannya sebagai peneraju kewangan sosial, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Khairul Kamarudin.

Beliau berkata inisiatif itu termasuk penyerahan sijil penyertaan kepada 16 usahawan mikro terpilih di bawah program iTEKAD Bank Muamalat Sabah, pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bersama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit serta pelancaran kempen pendanaan awam Jariah Fund ‘Pek Ikhlas Sabahan’ bersama Yayasan Ikhlas.

“Di Sabah, 16 usahawan mikro daripada golongan B40 dan asnaf telah disenaraikan sebagai peserta sulung iTEKAD Bank Muamalat Sabah. Mereka akan menerima pembiayaan mikro dan geran sehingga RM10,000, latihan keusahawanan tajaan penuh serta pemantauan intensif selama tempoh enam bulan, katanya dalam kenyataan kepada Bernama sempena Karnival Celik Kewangan 2025 di Eastern Plaza di sini hari ini.

Khairul berkata sebagai institusi perbankan Islam yang menerajui pelaksanaan program iTEKAD sejak mula diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), Bank Muamalat terus komited untuk memperjuangkan jangkauan kewangan sosialnya ke negeri-negeri yang memerlukan.

Setakat Mei tahun ini, sebanyak 3,397 usahawan dalam kalangan B40 dan asnaf telah menerima manfaat program iTEKAD Bank Muamalat di seluruh negara dengan jumlah dana melebihi RM35 juta.

Khairul berkata inisiatif-inisiatif itu adalah sebahagian daripada komitmen Bank Muamalat dalam menyahut seruan kerajaan dan BNM untuk memperkasakan kewangan Islam sebagai pemacu pembangunan sosioekonomi rakyat.

“Program-program seperti iTEKAD ini bukan sahaja membantu golongan yang memerlukan tetapi juga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara melalui pembangunan usahawan mikro yang mampan,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan