KLANG, 5 Julai (Bernama) -- Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dengan kerjasama 99 Speed Mart Retail Holdings Berhad (99 Speedmart) menganjurkan kempen derma darah bagi mengumpul 700 beg darah untuk disumbangkan kepada Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.
Datuk Bandar MBDK Datuk Abd Hamid Hussain berkata inisiatif itu bertujuan membantu HTAR mengekalkan bekalan darah sebanyak 3,000 beg setiap bulan, merangkumi semua jenis darah untuk kegunaan pesakit yang memerlukan.
“Usaha ini perlu dilaksanakan secara berterusan kerana ia merupakan antara langkah penting dalam menyelamatkan nyawa. Penganjuran siri kedua oleh 99 Speedmart ini wajar dipuji, selepas berjaya mengumpul lebih 620 beg darah pada tahun lepas.
“Meskipun bekalan darah di HTAR kini berada pada tahap stabil, MBDK berpendapat kita tidak boleh terlalu selesa kerana setiap beg darah hanya bertahan selama 40 hari. Oleh itu, usaha menderma perlu dijalankan secara konsisten,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Derma Darah yang turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi 99 Speedmart Yong Eng Kwang, di Dewan MBDK, Bandar Bukit Raja, di sini hari ini.
Sementara itu, Yong berkata sasaran mengumpul 700 beg darah dijangka dapat dicapai menjelang jam 3 petang, dengan kebanyakan penderma terdiri daripada kakitangan 99 Speedmart sekitar Klang.
“Setakat ini, 99 Speedmart mempunyai 25,000 kakitangan di seluruh negara, dan 8,000 daripadanya bertugas di cawangan sekitar Klang. Maka, sasaran untuk mengumpul 700 beg darah menerusi kempen ini adalah realistik.
“Kempen ini juga tidak terhad kepada kakitangan kami sahaja. Orang ramai, khususnya penduduk Klang, turut dialu-alukan untuk bersama-sama menderma darah,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial