Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 4 Julai (Bernama) -- Permohonan Papua New Guinea (PNG) untuk menyertai ASEAN akan menjadi antara agenda utama yang dibincangkan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 di Kuala Lumpur minggu depan, menurut Kementerian Luar Indonesia.
Ketua Pengarah Kerjasama ASEAN, Sidharto Suryodipuro berkata negara Pasifik itu telah memohon untuk menyertai blok serantau 10 negara itu, dan Presiden Prabowo Subianto telah menyatakan sokongan terhadap langkah berkenaan semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada Mei lepas.
“Berkaitan permohonan Papua New Guinea, ia pasti akan menjadi topik perbincangan. Format dan prosesnya akan ditentukan oleh Pengerusi ASEAN. Pada peringkat ini, saya tidak akan mengulas mengenai bagaimana ia akan dibahaskan,” katanya pada sidang media Khamis (3 Julai).
Menurut Sidharto, berdasarkan pengalaman lampau, kemungkinan perbincangan akan dimulakan dengan persetujuan mengenai rangka kerja prosedur untuk menilai permohonan itu.
“Sudah tentu, perbincangan akan melalui beberapa peringkat. Saya tidak dapat mengatakan sama ada prosesnya akan sama seperti yang dilalui oleh Timor-Leste atau sebaliknya, kerana ia akan menjadi keputusan bersama secara konsensus dalam kalangan negara anggota ASEAN,” katanya.
Beliau menjawab soalan berhubung pelbagai isu serantau termasuk potensi kemasukan PNG, status keahlian Timor-Leste, situasi di Myanmar, kehadiran Korea Utara pada Forum Serantau ASEAN (ARF) dan tarif perdagangan terbaharu Amerika Syarikat.
ASEAN yang ditubuhkan pada 1967 kini dianggotai Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Mengulas laporan media bahawa junta tentera Myanmar mungkin menentang keahlian penuh Timor-Leste pada Oktober ini, beliau berkata: “Kami telah membaca laporan itu tetapi masih belum mendengar secara langsung daripada wakil Myanmar.”
Beliau memaklumkan bahawa keahlian Timor-Leste telah dipersetujui pada peringkat Sidang Kemuncak ASEAN, dan perbincangan lanjut mengenai perkara itu akan dibincangkan semasa mesyuarat menteri luar di Kuala Lumpur.
Malaysia juga dijangka memberikan taklimat kepada negara anggota mengenai peranan utusan khas ASEAN ke Myanmar, kata beliau.
Berkaitan kemungkinan penyertaan Korea Utara dalam ARF, Sidharto berkata perkara itu tidak bergantung kepada hubungan dua hala antara Pyongyang dan negara anggota ASEAN.
“Kehadiran delegasi DPRK (Republik Rakyat Demokratik Korea) tidak berkaitan dengan hubungan dua hala. Ini adalah amalan diplomatik biasa. Sebagai Indonesia, kami sentiasa berharap Menteri Luar DPRK (Korea Utara) akan hadir pada mesyuarat ARF,” katanya.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan Menteri Luar Korea Utara tidak hadir pada ARF sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan biasanya diwakili oleh duta mereka di negara tuan rumah.
Dalam kes ini, beliau berkata pada masa ini tiada duta Korea Utara ditempatkan di Kuala Lumpur.
Mengenai isu tarif Amerika Syarikat, Sidharto berkata para menteri luar ASEAN akan diberikan taklimat oleh Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN semasa mesyuarat itu.
“Langkah tarif AS adalah kebimbangan bersama, bukan sahaja untuk Indonesia tetapi juga ASEAN dan banyak negara di seluruh dunia,” katanya.
Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN yang dipengerusikan bersama oleh Malaysia dan Indonesia telah mengadakan mesyuarat pertamanya pada 16 Mei.
Menurut Sekretariat ASEAN, pasukan petugas itu telah membincangkan prospek ekonomi serantau, implikasi dasar perdagangan unilateral dan potensi tindak balas kolektif.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial