KUALA TERENGGANU, 4 Julai (Bernama) -- Sikap bertanggungjawab peniaga di Terengganu terserlah apabila mereka tidak 'sapu rata' pelaksanaan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dengan menaikkan harga sesuka hati, sebaliknya memilih bersama-sama meringankan beban pengguna.
Seorang peniaga ikan di Pasar Payang 1, Abdul Mubin Mohd, 59, berkata tiada sebarang kenaikan harga bagi semua jenis ikan antaranya selayang, kerisi, kembung, tenggiri, merah, jenahak dan selar kerana tahu hasil laut itu tidak dikenakan SST.
Abdul Mubin yang ditemui Bernama berkata harga belian daripada nelayan dan harga jualan di pasar kekal antaranya ikan selayang dijual pada harga RM10 sekilogram (kg), selar (RM12 kg), kembung (RM18 kg), merah (RM35 kg), kerisi (RM16 kg) dan tenggiri (RM35 kg).
"Setakat ini harga ikan macam biasa sahaja, tidak naik atau turun walaupun selepas pelaksanaan SST.
"Harga beli daripada nelayan masih sama, begitu juga dengan harga jualan di pasar. Tidak timbul soal ambil kesempatan kerana setahu saya ikan tidak termasuk dalam barangan peluasan SST," katanya ketika ditemui di Pasar Payang 1, di sini.
Seorang lagi peniaga ikan, Muhammad Syawal Aluwi Ishak, 40, berkongsi pendapat yang sama bahawa peniaga tidak akan menaikkan harga sesuka hati kerana terikat dengan peraturan dan undang-undang kepenggunaan.
Tidak memikirkan keuntungan semata-mata, dia berkata peniaga juga perlu menjaga kepentingan pelanggan dalam persekitaran perniagaan yang semakin kompetitif ketika ini.
"Kita tidak akan menaikkan harga ikan atau hasil laut lain termasuk sotong, udang dan ketam sewenang-wenangnya. Sekarang ini peniaga ikan bukan sahaja ada di pasar malah di kedai-kedai tepi jalan.
"Saya rasa peluasan SST tiada kesan kepada harga ikan. Setakat ini harga jualan sama dan tidak ada rungutan dalam kalangan pembeli," katanya.
Bagi pengusaha kedai makan di Gong Badak di Kuala Nerus, Mawarni Mohamad, 51, dia bersyukur kerana harga ikan, hasil laut dan sayuran-sayuran sama seperti sebelum ini, membolehkannya mengekalkan harga jualan makanan.
"Alhamdulillah, harga ikan masih sama. Kami boleh terus menawarkan harga yang berpatutan kepada pelanggan.
"Dalam keadaan ekonomi sekarang, jika harga makanan dinaikkan, pelanggan mungkin akan mengelak, lebih baik untung sedikit yang penting pelanggan berpuas hati dan terus datang lagi," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial