KOTA BHARU, 3 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memanggil 61 saksi setakat ini bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata kesemua saksi itu telah dipanggil baru-baru ini manakala jumlah aset dipercayai milik seorang pemegang konsesi lebuh raya bergelar Tan Sri kekal sama seperti yang pernah diumumkan sebelum ini.
“Saya telah beri tempoh maksimum dua bulan untuk pegawai saya menyiapkan kertas siasatan kes ini.
"Saya percaya, mungkin tidak sampai dua bulan pun kertas siasatan akan disiapkan untuk dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya dalam sidang media selepas majlis serah terima tugas Pengarah SPRM Kelantan yang baharu Azmin Yusoff dan penyandang sebelum ini, Rosli Husain di sini hari ini.
Pada 25 Jun lepas, media melaporkan SPRM telah memanggil 55 individu untuk dirakam keterangan dengan sembilan tangkapan dilakukan susulan siasatan kes berkenaan.
Selain itu, SPRM memaklumkan penggeledahan turut dilaksanakan termasuk di kediaman suspek dengan 14 akaun individu serta lapan akaun syarikat dibekukan melibatkan jumlah keseluruhan mencecah RM156 juta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial