Oleh D.Arul Rajoo
ROM, 3 Julai (Bernama) -- Malaysia berjaya meraih potensi pelaburan sebanyak RM8.13 bilion menerusi mesyuarat meja bulat kerjasama ekonomi Malaysia dan Itali serta mesyuarat dua hala bersama-sama syarikat di sini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mesyuarat meja bulat berkenaan melibatkan penyertaan sebanyak 41 syarikat Itali yang terdiri daripada 23 syarikat sektor pembuatan, sembilan syarikat sektor perkhidmatan, dua syarikat sektor perdagangan serta lima agensi kerajaan dan dua pertubuhan industri.
“Potensi pelaburan yang telah diraih melalui kedua-dua mesyuarat ini berjumlah RM8.13 bilion dalam sektor petrokimia, jentera dan peralatan, elektrik dan elektronik serta perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas,” kata Anwar pada sidang media pada akhir lawatan beliau ke Rom, Itali.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata potensi eksport yang dijana berjumlah RM425 juta bagi produk oleokimia, tenaga boleh baharu (TBB), bahan mentah bahan api bio dan aditif makanan ternakan.
Mesyuarat meja bulat berkenaan memberi peluang kepada syarikat berpotensi di Itali menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan syarikat Malaysia dalam pelbagai sektor seperti pembuatan berteknologi tinggi, TBB, ekonomi digital dan infrastruktur mampan.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata dalam pertemuan dua hala dengan rakan sejawat beliau Giorgia Meloni, Rom dan Putrajaya akan meningkatkan kerjasama dalam sektor tenaga, solar, geoterma dan hidrogen.
Antara kerjasama itu adalah usaha sama Petronas dan Eni S.p.A di Pengerang, Johor dalam sektor bahan api penerbangan mampan; Perodua dan Magna Styer bagi bateri kenderaan elektrik; dan kerjasama dan pelaburan modenisasi grid elekrik termasuk Grid Tenaga ASEAN.
Perdana Menteri berkata dalam perbincangan itu, beliau turut memohon pengiktirafan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dari Itali selain memohon dukungan penilaian pelaksanaan Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR) yang lebih adil -- standard risiko negara (rendah).
Malaysia menyasarkan untuk berada dalam kategori negara berisiko rendah dalam sistem penanda aras EUDR melalui semakan semula penarafan berkenaan menjelang 2026.
Dalam pada itu, Malaysia turut mohon sokongan Itali untuk menyelesaikan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia-EU.
Perdana Menteri tiba di sini pada Selasa untuk mengadakan lawatan kerja selama tiga hari ke Itali selaku ekonomi ketiga terbesar dalam EU.
Kunjungan berkenaan adalah atas jemputan Meloni.
Sepanjang lawatan itu, Anwar diiringi oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Turut menyertai delegasi itu ialah Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Pada 2024, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Itali mencatatkan peningkatan sebanyak dua peratus kepada RM14.61 bilion (US$3.18 bilion) berbanding tempoh sama pada 2023.
Bagi tempoh Januari hingga Mei 2025, jumlah perdagangan antara kedua-dua negara terus menunjukkan prestasi positif dengan peningkatan 3.3 peratus kepada RM6.5 bilion (US$1.48 bilion) berbanding tempoh sama pada 2024.
Perdana Menteri berlepas ke Perancis untuk mengadakan lawatan rasmi pada 3 dan 4 Julai selepas menamatkan lawatan di Itali.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial