KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- FRIM Incorporated (FRIM Inc) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan DMELL Global bagi membekalkan sejumlah pokok untuk menyokong Inisiatif Penghijauan Saudi (SGI).
Pada majlis sama, DMELL Global turut menandatangani MoU bersama Arabian Peninsula Forests of Saudi Arabia untuk membekalkan kuantiti pokok yang dipersetujui kepada Arab Saudi.
Pemeteraian MoU itu susulan kunjungan hormat dan lawatan delegasi DMELL Global dan Arabian Peninsula Forests of Saudi Arabia ke Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Kepong, di sini yang menandakan langkah penting dalam memperkukuh usaha pemulihan alam sekitar dan pengurusan hutan secara lestari di peringkat global.
Kerjasama ini bertujuan membekalkan bahan tanaman hutan berkualiti tinggi bagi menyokong usaha penghutanan berskala besar di Arab Saudi.
Menerusi perjanjian itu, FRIM Inc anak syarikat milik penuh FRIM akan membekalkan sehingga lapan juta pokok setiap tahun, disokong oleh penyelidikan saintifik, kepakaran hutan tropika dan inovasi yang telah dibangunkan oleh FRIM sejak beberapa dekad lepas.
Berucap pada majlis itu, Ketua Pengarah FRIM Datuk Dr Ismail Parlan berkata kerjasama ini diyakini akan membawa kepada usaha bersama yang memberi impak dalam pemulihan hutan, ketahanan ekosistem dan pembangunan hijau mampan.
“Kita akan mulakan dengan membekalkan bahan prapenanaman kepada DMELL Global yang kemudiannya akan menyelaras pengagihan kepada Arabian Peninsula Forests of Saudi Arabia sebagai sebahagian daripada inisiatif penghutanan mereka yang sedang berlangsung.
“Ini bukan sekadar pembekalan pokok tetapi menjadi asas kepada kerjasama yang lebih meluas termasuk khidmat perundingan teknikal, perkongsian ilmu, pembangunan kapasiti dan perancangan alam sekitar secara bersama,” katanya.
Ahli Lembaga Pengarah FRIM Inc Noor Azmi Mohd Said berkata kerjasama ini mengukuhkan peranan FRIM sebagai peneraju global dalam bidang sains perhutanan, serta meletakkan FRIM Inc sebagai rakan strategik utama dalam usaha penghijauan secara mampan dan berskala besar.
“Selain membekalkan bahan tanaman, kami juga mempunyai keupayaan untuk menyediakan sokongan menyeluruh daripada perundingan teknikal sehingga panduan lokasi penanaman di lapangan.
“Setiap pokok yang kami bantu tanam akan menyumbang secara bermakna kepada hutan yang kaya dengan biodiversiti dan memenuhi matlamat alam sekitar serta sosioekonomi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Strategi Arabian Peninsula Forests Mohammed Sallam berkata kerjasama ini penting bagi mencapai sasaran alam sekitar Arab Saudi di bawah ''Wawasan 2030'' termasuk matlamat menanam 10 bilion pokok dan memulihkan lebih 74 juta hektar tanah.
“Ini satu usaha berskala besar yang tidak mungkin dicapai oleh satu negara sahaja. Tambahan pula, kira-kira 95 peratus tanah di Arab Saudi terdiri daripada tanah padang pasir yang tidak mampu mengekalkan kandungan air. Kerjasama ini boleh membantu mengatasi kedua-dua cabaran berkenaan,” katanya.
Berikutan pemeteraian MoU itu, para delegasi turut dibawa melawat kemudahan FRIM termasuk Galeri FRIM, Makmal Kultur Tisu dan tarikan pelancongan popular FRIM Forest Skywalk yang mempamerkan legasi institusi itu, teknologi pemuliharaan serta pengalaman hutan tropika yang luas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial