AM

Perak Selesai Lantik 658 Ketua Kampung Tradisi Bagi Fasa Pertama

02/07/2025 08:54 PM

IPOH, 2 Julai (Bernama) -- Kerajaan Perak telah menyelesaikan pelantikan 658 daripada 828 ketua kampung tradisi bagi fasa pertama, manakala selebihnya akan diberikan watikah dalam masa terdekat. 

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pelantikan fasa kedua akan membabitkan 170 kampung, disebabkan berlaku perubahan dan pemintaan akar umbi bagi mengisi jawatan terbabit. 

Beliau berkata sebelum ini, timbul masalah seperti ada ketua kampung tidak bermastautin di perkampungan diuruskannya, faktor usia, kesihatan serta lain-lain lagi.

“Syarat ini telah ditetapkan supaya ketua kampung itu dapat berfungsi seperti yang sepatutnya. Setiap ketua kampung hanya boleh berkhidmat sehingga pada umur mencecah 65 tahun dan mereka tidak boleh dilantik semula jika sudah lanjut usia.

“Kita mahu tahap kesihatan seorang ketua kampung itu baik dan jika dia mempunyai masalah kesihatan yang serius kita terpaksa menggantikan dengan individu yang lain pada fasa kedua nanti,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Simposium Komuniti Orang Asli Negeri Perak 2025, di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan dekat sini hari ini. 

Saarani berkata senarai ketua kampung disediakan melalui rundingan bersama dalam Jawatankuasa Kerajaan Perpaduan yang merangkumi pelbagai parti dalam kerajaan negeri.

“Proses pelantikan tersebut melibatkan lantikan baharu, penyambungan semula penyandang sedia ada serta penglibatan lebih ramai wanita dan golongan muda,” katanya.

Sementara itu, Saarani berkata kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan kebajikan dan keperluan masyarakat Orang Asli, malah sentiasa berusaha meningkatkan taraf kehidupan komuniti itu dalam pelbagai aspek.

“Projek Projek Santuari Kelah di Kampung Sungai Tiang, Royal Belum oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), telah membuktikan keberkesanan pendekatan komuniti dalam pemeliharaan biodiversiti sambil membuka peluang ekonomi dengan Royal Belum kini mencatat lebih 30,000 pengunjung setiap tahun.

“Begitu juga di Kampung Sungai Kejar, Royal Belum, Agensi Bantuan Malaysia (MRA) membekalkan sistem solar yang meningkatkan keselesaan hidup penduduk, manakala syarikat SEAD Industries akan membangunkan Kampung Budaya Orang Asli di Pos Raya, Simpang Pulai,” katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan