PUTRAJAYA, 1 Julai (Bernama) -- Pelaksanaan Peraturan-Peraturan Perubatan (Pindaan) 2025 dan Akta Perubatan (Pindaan) 2024 [Akta A1729] yang berkuat kuasa hari ini merupakan satu pencapaian penting dalam usaha berterusan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memperkukuh tadbir urus, ketelusan dan keterangkuman profesion perubatan negara.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam kenyataan hari ini berkata pindaan ke atas Peraturan-Peraturan Perubatan itu menyediakan kerangka perundangan yang diperlukan untuk melaksanakan peruntukan dalam akta yang telah dipinda.
"Ia mewujudkan laluan yang jelas dan konsisten bagi pengiktirafan serta pendaftaran pakar yang dilatih melalui program Parallel Pathway dan latihan kepakaran tempatan.
"Pindaan ini akan memperjelas peranan dan tanggungjawab Majlis Perubatan Malaysia (MPM) dalam memastikan semua pengamal dengan kelayakan tertentu dinilai secara adil dan telus," katanya.
Selain itu, Dzulkefly berkata melalui pindaan itu juga struktur dan keanggotaan MPM turut diperkukuhkan agar lebih setara dari segi komposisinya sesuai dengan status semasa tenaga kerja kesihatan, khususnya dalam sektor awam.
Pindaan itu, beliau berkata turut menyediakan asas perundangan yang kukuh bagi semua program latihan kepakaran tempatan bagi memastikan ia diiktiraf dan ditadbir dengan lebih teratur.
"Ini akan membolehkan pakar yang sebelum ini berada dalam ketidaktentuan dinilai dan didaftarkan seterusnya berkhidmat kepada rakyat dengan baik.
"Pindaan ini juga akan meningkatkan akses kepada rawatan pakar yang berkualiti tinggi dan memperkukuh keyakinan awam kerana semua pakar yang berkhidmat dalam sistem kesihatan dinilai berdasarkan piawaian kompetensi yang konsisten tanpa mengira laluan latihan mereka," katanya
Dzulkefly berkata beliau dan pengurusan KKM akan terus berinteraksi dengan pihak berkepentingan, memperkasa inovasi dan melaksanakan reformasi untuk memastikan sistem kesihatan di Malaysia kekal berdaya tahan, inklusif dan bersedia menghadapi masa hadapan.
Pada 5 Jun tahun lepas, Kabinet bersetuju untuk meminda Akta Perubatan 1971 (Akta 50) bagi menyelesaikan isu pendaftaran pakar Parallel Pathway dan memperkemas laluan sarjana perubatan tempatan.
Pindaan itu berjaya diluluskan di Parlimen pada 17 Julai 2024.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial