AM

Gangguan Trafik Sempena AMM Ke-58, Dijangka Bermula Jumaat Ini

01/07/2025 06:56 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Aliran trafik di beberapa lokasi di ibu negara dijangka mengalami gangguan sempena penganjuran Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan, yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 8 hingga 11 Julai ini.

Sekretariat Induk Logistik ASEAN, Kementerian Luar memaklumkan gangguan trafik dijangka bermula seawal Jumaat ini dalam radius satu kilometer dari kawasan KLCC serta di sepanjang jalan utama dan lebuh raya yang menghubungkan pintu masuk utama ke ibu negara.

“Maklumat lanjut mengenai laluan yang terjejas dan penutupan jalan tertentu akan dimaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam masa terdekat.

“Kementerian Luar memohon maaf atas segala kesulitan yang mungkin timbul dan amat menghargai kefahaman serta kerjasama orang ramai,” menurut sekretariat itu dalam satu kenyataan. 

Sebagai tuan rumah bagi acara serantau yang penting, sekretariat itu memaklumkan Kementerian Luar komited memastikan penganjuran yang lancar dan berjaya, tanpa mengabaikan kesejahteraan rakyat.

Malaysia mengambil alih Kepengerusian ASEAN pada 1 Jan 2025 daripada Laos dengan tema Keterangkuman dan Kemampanan, yang mencerminkan aspirasi negara untuk membina ASEAN yang bersatu serta makmur.

Ini adalah kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN selepas memegang jawatan itu pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan