AM

Aerotrain Baharu Lebih Cekap, Selesa - Penumpang

01/07/2025 04:09 PM

SEPANG, 1 Julai (Bernama) -- Penumpang yang menaiki Aerotrain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 yang beroperasi semula hari ini menyifatkan pengalaman kali ini jauh lebih baik berbanding tren lama, khususnya dari aspek keselesaan, reka bentuk dan kecekapan operasi.

Seorang penumpang, Syazwan Misbah, 32, berkata tren baharu itu memberikan pengalaman lebih menarik dengan suasana dalam koc yang moden dan berhawa dingin.

"Saya rasa tren baharu ini lagi efisien sebab kalau kita tengok pun dia ‘non-stop’ setiap dua minit dan kita tak perlu tunggu lama. 

"Berbanding naik bas yang agak susah dan penumpang kena jalan jauh, kalau naik ini (aerotrain baharu) dah dekat (dengan bangunan satelit)," katanya.

Perkhidmatan tren moden tanpa pemandu itu kembali beroperasi sepenuhnya pagi ini selepas menjalani proses naik taraf bernilai RM456 juta, sebagai sebahagian daripada inisiatif transformasi KLIA berjumlah RM742 juta, yang bertujuan memperkukuh kedudukannya sebagai hab penerbangan serantau bertaraf dunia.

Nazihah Abdullah, 35, dari Kuala Lumpur yang sedang dalam perjalanan ke India pula berkata tren baharu itu memberikan keselesaan ketara, dengan ruang lebih luas serta paparan maklumat yang lebih jelas.

"Ruang tren sekarang lagi selesa, luas dan ada paparan yang jelas. Tren lama dulu tak ada paparan macam ini," katanya menambah tempoh menunggu untuk menaiki tren juga tidak terlalu lama, dengan keseluruhan perjalanan mengambil masa kurang tiga minit.

Penumpang dari Taiwan, Dr Inglish Huang menganggap dirinya bertuah kerana berpeluang merasai pengalaman hari pertama pelancaran semula Aerotrain tersebut.

Huang, yang merupakan Presiden Persekutuan Korfball Antarabangsa (IKF) Asia juga kagum perkhidmatan aeortrain yang baharu dilancarkan semula itu serta layanan mesra rakyat negara ini.

"Sebelum ini, kami bergantung kepada bas transit dan terpaksa menunggu lama, tetapi kini kami bertuah kerana ada kemudahan aeotrain. Penyaman udaranya berfungsi dengan baik, selain sangat cepat dan efisien," katanya yang datang ke negara ini untuk mempromosikan sukan Korfball.

Aerotrain yang menjadi ciri ikonik KLIA sejak pembukaannya pada 1998, kini dilengkapi set tren Alstom Innovia APM 300R, dengan setiap tren tiga gerabak mampu memuatkan hingga 270 penumpang dan bergerak pada kelajuan maksimum 56 kilometer sejam sekali gus mengurangkan masa perjalanan antara terminal utama dan terminal satelit kepada kurang tiga minit.

Tren baharu ini turut dilengkapi sistem pemantauan kondisi canggih yang direka untuk mengurangkan gangguan perkhidmatan, meningkatkan kecekapan operasi serta menambah keselesaan pengguna.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan