AM

Tapak Pelancaran Roket: MOSTI Lakukan Kajian Awal Permohonan Sabah, Pahang

01/07/2025 09:17 AM

SERI ISKANDAR, 1 Julai (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang melaksanakan kajian awal kesesuaian terhadap permohonan Sabah dan Pahang bagi penyediaan lokasi di dua negeri itu sebagai tapak pelancaran roket.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata kajian itu akan mengambil masa agak lama kerana memerlukan penelitian daripada pelbagai aspek.

"Setakat ini ada dua negeri yang memang berminat dan telah pun mengemukakan permohonan mereka, iaitu Sabah dan Pahang. Sekarang kita dalam proses feasibility study mereka (permohonan).

"Dalam feasibility study itu ada pelbagai aspek yang kita perlu kaji. Jadi, (kajian) akan mengambil masa," katanya ketika ditemui selepas program MOSTI Tech Talks siri kelima di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini malam tadi.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI Ruziah Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI Datuk Dr Mohd Nor Azman Hassan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UTP Ir Mohamed Firouz Asnan serta Provos UTP Datuk Ir Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib.

Chang berkata beliau berharap tapak pelancaran roket itu boleh dimulakan kerja pembinaan seawal 2026.

" … Sebenarnya permintaan untuk pelancaran satelit ini semakin tinggi dan sekarang tapak pelancaran yang ada di dunia ini tidak mencukupi.

"Dulu mungkin kita hanya perlukan untuk komunikasi, televisyen, tetapi sekarang banyak sektor seperti kereta, smartwatch, telefon pintar memerlukan teknologi satelit untuk GPS (Sistem Penentu Kedudukan Global), komunikasi dan lain-lain," katanya.

Pada 15 Feb tahun lepas, media melaporkan Malaysia sedang bersaing dengan masa untuk memperjuangkan pembinaan tapak pelancaran roket yang pertama di Asia Tenggara.

Chang dilaporkan berkata Malaysia memiliki kelebihan membina tapak pelancaran roket kerana tidak terletak pada garis gempa bumi, tidak mempunyai gunung berapi, mempunyai tahap teknologi yang tinggi dan mempunyai industri elektronik serta elektrik yang matang.

Sementara itu, berkenaan program MOSTI Tech Talks, Chang berkata ia usaha MOSTI untuk bersama dengan pelajar universiti supaya mereka lebih memahami fungsi serta peranan kementerian itu.

"Pada masa sama, supaya mereka (pelajar universiti) lebih tahu apa yang sedang berlaku, iaitu perkembangan dalam sains komuniti dan mungkin mereka berminat untuk menceburi dalam kerjaya sains dan teknologi," katanya.

Chang berkata program itu bermula pada April lepas, melibatkan Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan