KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Seorang bekas pegawai bank pelaburan hari ini dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM1 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini bagi kesalahan melakukan penipuan sekuriti membabitkan RM201,000.
Hakim Norma Ismail membuat keputusan itu selepas Ruwan Amaresh Shaun Ponniah, 36, mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 179(b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.
Beliau turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara enam bulan jika gagal membayar denda dan mengarahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkap iaitu pada 18 Sept tahun lepas.
Suruhanjaya Sekuriti dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa mahkamah turut mengambil kira sembilan lagi pertuduhan serupa di bawah Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.
"Ruwan Amaresh telah menipu tujuh pelabur bahawa wang mereka akan dilaburkan dalam saham yang disenaraikan di bursa saham Malaysia dan asing namun menggunakan dana itu untuk tujuan lain tanpa pengetahuan mereka," menurut kenyataan itu.
Mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atas Ruwan Amaresh selepas beliau mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 kerana menyamar seolah-olah menjalankan perniagaan pengurusan dana tanpa lesen atau pendaftaran yang sah untuk pengurusan dana.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan beliau menjalani hukuman itu serentak dengan hukuman penjara bagi kesalahan pertama.
Menurut suruhanjaya itu, pengakuan Ruwan Amaresh dibuat susulan permohonannya untuk rundingan bagi pengakuan salah di bawah Seksyen 172C Kanun Tatacara Jenayah.
"Beliau telah ditahan serta didakwa oleh SC pada September 2024 dan mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan sebelum dibenarkan diikat jamin sebanyak RM210,000 dengan seorang penjamin.
"Pada 5 Feb 2025, susulan permohonan Ruwan Amaresh kepada Mahkamah Tinggi untuk mengurangkan jaminan, jumlah itu telah dikurangkan kepada RM105,000 namun beliau gagal membayarnya menyebabkan beliau ditahan di Penjara Sungai Buloh sehingga hari ini," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial