AM

Azmar Guna Pengalaman, Jawatan Bantu Bangunkan Ekonomi Umat Islam Di Melaka

27/06/2025 03:22 PM

MELAKA, 27 Jun (Bernama) -- Minat mendalam serta diberi kepercayaan menjawat pelbagai jawatan penting dalam bidang ekonomi serta hartanah memberi peluang cukup luas buat penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Melaka 2025 Datuk Azmar Talib dalam membantu pembangunan negeri dan ekonomi umat Islam di Melaka. 

Anak jati kelahiran Masjid Tanah berusia 65 tahun yang menerima anugerah Abu Bakar As-Siddiq itu berkata sehingga kini masih banyak idea dan ilham yang mahu dikongsi bagi membangunkan ekonomi umat Islam di Melaka terutama melibatkan golongan asnaf. 

Penganugerahan itu penghargaan tertinggi kerajaan negeri terhadap sumbangan besar beliau dalam memartabatkan institusi agama, pembangunan ekonomi Islam dan pemodenan pengurusan wakaf serta zakat yang berlandaskan prinsip syariah.

"Seperti harta-harta yang diwakafkan, ia perlu dibangun serta diuruskan dengan lebih cekap bagi memastikan ia memberi manfaat kepada umat Islam dan itulah yang saya sedang usahakan melalui Jabatan Agama Islam Melaka serta Ahli Lembaga Pelaburan Tabung Haji," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Melaka 1447H/2025M di sini malam tadi.

Majlis bertemakan ‘Membangun Ummah MADANI’  itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan turut dihadiri kepimpinan negeri serta lebih 3,000 hadirin.  

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Sdn Bhd berkata antara hasratnya mahu membantu lebih ramai orang Islam berniaga kerana ia antara sunah Rasulullah dalam membina masyarakat yang membangun dalam bidang ekonomi.

Malah, jawatan sebagai Ahli Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan juga ahli Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Melaka (MTENM) telah memberi peluang kepada beliau untuk memainkan peranan strategik dalam pembangunan negeri, terutamanya berfokuskan aspek ekonomi dan agama.

"Dari segi ekonomi kita masih jauh ketinggalan serta masih mengharapkan bantuan secara langsung atau tidak langsung dan ini terjadi kerana orang kita kebanyakan makan gaji. Jadi saya rasa banyak harta-harta yang dimilik JAIM seperi zakat dan wakaf perlu dipertingkatkan kegunaannya.

"Mungkin menggunakan kaedah pelaburan dan daripada pulangan itu dapat membantu membuka ruang kepada orang kita untuk berniaga," katanya.

Terdahulu, beliau antara 12 Tokoh Maal Hijrah 1447H/2025M yang terpilih untuk jasa dan sumbangan mereka dalam memperkasakan pembangunan umat Islam di negeri ini.

Penerima Anugerah Abu Bakar As-Siddiq membawa pulang pakej umrah bernilai RM10,000 dan wang tunai RM10,000, manakala 11 tokoh lain masing-masing menerima Pakej Kembara Ilmiah bernilai RM3,000 serta wang tunai RM3,000.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan