SEREMBAN, 25 Jun (Bernama) -- Projek pembinaan jalan baharu menghubungkan persimpangan Lukut (Dataran Segar) hingga ke Kampung Si Rusa di Port Dickson dijangka siap dalam tempoh dua tahun.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata projek itu melibatkan pembinaan jalan sepanjang 10 hingga 13 kilometer (km) dengan mengikut spesifikasi Jabatan Kerja Raya (JKR) R2 (dua lorong, dua hala) dengan kelajuan reka bentuk 50 kilometer sejam (km/j).
“Jalan alternatif ini dapat membantu mengurangkan kesesakan di Port Dickson selain memendekkan masa perjalanan dari Lukut atau Bagan Pinang kerana ia akan melalui Kampung Paya dan Kampung Bagan Pinang tanpa melalui bandar Port Dickson.
“Insya-Allah, laluan ini akan memberi manfaat kepada lebih 5,000 penduduk setempat dengan mempertingkatkan akses ke pekan Lukut dan Si Rusa,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.
Dalam perkembangan berasingan, Aminuddin berkata PLUS Malaysia Berhad memaklumkan akan melaksanakan projek naik taraf kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Pedas arah utara.
Aminuddin berkata hentian sedia ada ketika ini terlalu kecil dan tidak lengkap dari segi kemudahan untuk pengguna lebuh raya iaitu hanya berfungsi sebagai tempat berhenti sementara.
“Rancangan naik taraf dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat merangkumi pembinaan kemudahan baharu seperti surau, ruang rehat, kawasan riadah serta gerai makanan dan ruang niaga bagi peniaga kecil termasuk penjual menggunakan van bergerak,” katanya.
Beliau berkata inisiatif itu berpotensi memberi impak positif kepada komuniti setempat di Pedas, di samping membuka peluang perniagaan baharu dan merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial