KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Indeks Pelopor (IP) Malaysia mengekalkan pertumbuhan tahunan yang positif pada kadar 0.5 peratus dengan mencatat 113.6 mata dalam April 2025 berbanding 113.0 mata bagi tempoh sama 2024, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
IP digunakan sebagai petunjuk awal mengenai titik perubahan dalam kitaran perniagaan serta hala tuju ekonomi dalam masa terdekat.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan dua digit dalam import benar semikonduktor (27.2 peratus) dan bilangan syarikat baru didaftar (24.1 peratus), menyumbang kepada pertumbuhan itu walaupun empat komponen lain menunjukkan penurunan.
“Selaras dengan itu, prestasi bulanan IP mencatat peningkatan bagi bulan kedua berturut-turut dengan 0.8 peratus, disokong oleh kenaikan 0.5 peratus dalam bilangan syarikat baru didaftar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
DOSM berkata kadar pertumbuhan IP paling lancar bagi April 2025 kekal di bawah 100.0 mata yang mencerminkan prospek ekonomi Malaysia yang berdaya tahan, disokong oleh pasaran buruh yang positif dan permintaan domestik yang berterusan.
Asas-asas ini diperkukuhkan lagi oleh peningkatan perbelanjaan isi rumah dan corak penggunaan yang menggalakkan, katanya.
Mengulas prestasi ekonomi semasa, DOSM berkata Indeks Serentak (IS) mencatat peningkatan tahunan sebanyak 1.0 peratus, mencecah 126.7 mata pada April 2025 berbanding 125.4 mata pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Pertumbuhan ini didorong oleh peningkatan lima daripada enam komponen terutamanya kapasiti penggunaan dalam pembuatan (3.4 peratus).
“Sebaliknya, pada asas bulanan, IS turun 0.1 peratus akibat penurunan dalam nilai caruman benar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (-0.5 peratus) dan Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit (-0.4 peratus),” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial