AM

Lapor JTK Jika Terima Gaji Bawah RM1,700 - KESUMA

23/06/2025 05:45 PM

PUTRAJAYA, 23 Jun (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menyarankan pekerja yang menerima bayaran gaji minimum di bawah RM1,700 agar segera membuat aduan di Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

KESUMA dalam kenyataan hari ini memaklumkan semua pihak wajib mematuhi peraturan gaji minimum yang telah ditetapkan bagi melindungi kebajikan dan hak pekerja di Malaysia dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap pelanggaran Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.

Merujuk laporan media mengenai dakwaan pemandu bas persiaran hanya menerima gaji pokok RM700 sebulan tanpa elaun tetap, kementerian itu memaklumkan di bawah Perintah Gaji Minimum (PGM) 2024 yang sedang berkuat kuasa, majikan wajib memastikan pekerja menerima gaji minimum sebanyak RM1,700 sebulan tanpa mengira sama ada melalui struktur gaji pokok atau jumlah pendapatan bulanan.

“Sekiranya majikan menetapkan gaji pokok dalam kontrak perkhidmatan, kadar gaji pokok yang ditetapkan mestilah tidak kurang daripada kadar gaji minimum semasa.

“Sekiranya majikan tidak menetapkan gaji pokok dalam kontrak perkhidmatan, majikan haruslah memastikan kadar gaji bulanan yang perlu dibayar adalah tidak kurang daripada kadar gaji minimum semasa dan tidak termasuk bayaran elaun-elaun lain,” menurut kenyataan itu.

Menurut KESUMA, PGM 2024 juga terpakai kepada pekerja sambilan.

Kenyataan itu menyebut JTK akan mempertingkat pemantauan dan tindakan penguatkuasaan terhadap aduan atau kesalahan pemotongan gaji yang melanggar PGM.

Sekiranya aduan pekerja disahkan oleh mahkamah, majikan boleh diarah untuk membayar perbezaan gaji serta elaun yang terjejas selaras dengan Seksyen 44 Akta 732.

Pada 21 Jun lepas, sebuah portal tempatan melaporkan bahawa pemandu bas ekspres dan persiaran hanya menerima gaji pokok serendah RM700 sebulan malah ada yang langsung tidak dibayar gaji asas.

Situasi itu dikatakan telah mengakibatkan mereka terpaksa bergantung kepada elaun perjalanan dan kerja lebih masa untuk menampung kehidupan hingga sanggup mengorbankan hari cuti serta bekerja hampir setiap hari.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan