SUKAN

Piala Negara-Negara CAFA 2025 Ujian Sebenar Kemajuan Harimau Malaya

23/06/2025 08:52 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Penyertaan sulung Malaysia dalam saingan Kejohanan Piala Negara-Negara Persatuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFA) 2025 di Uzbekistan dari 26 Ogos hingga 9 Sept ini  bakal menjadi medan terbaik untuk menilai sejauh mana kemajuan sebenar skuad Harimau Malaya.

Ketua jurulatih negara Peter Cklamovski menjangkakan anak buahnya bakal diuji dari pelbagai aspek -- sama ada di dalam atau luar padang -- sepanjang kejohanan yang menghimpunkan lapan pasukan, termasuk dua wakil Asia ke Piala Dunia 2026, Iran dan Uzbekistan.

Pengalaman yang diraih di kejohanan ini amat penting dalam pembangunan berterusan skuad kebangsaan," katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Harimau Malaya, hari ini.

Untuk rekod, Iran berada di tangga ke-18 dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Uzbekistan (ranking 57).

Selain itu, lima lagi pasukan turut dijangka menyertai kejohanan itu termasuk Oman (77), Kyrgyzstan (103), Tajikistan (104), Turkmenistan (142) dan Afghanistan (160).

“Kami berbangga untuk menyertai Kejohanan CAFA 2025. Kami akan berdepan cabaran hebat di tempat lawan dan bersaing dalam persekitaran yang mencabar menentang pasukan-pasukan kuat.

“Kejohanan ini merupakan satu lagi peluang penting untuk Harimau Malaya mengharumkan nama negara, menyemarakkan semangat penyokong dan terus membina perpaduan yang diimpikan oleh bola sepak Malaysia,” kata Cklamovski.

Untuk rekod, Iran muncul juara edisi 2023 selepas menewaskan Uzbekistan 1-0 di pentas final.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan