KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil hari ini mengucapkan tahniah kepada MARESMAF Wind Orkestra (MAWO) dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab Felda Trolak atas kejayaan merangkul Anugerah Emas Golden Diploma Award di Festival Antarabangsa Orkestra Tiupan 2025 di Prague, Republik Czech.
Beliau menyifatkan pencapaian itu sebagai suatu kebanggaan buat keluarga besar Felda dan seluruh rakyat Malaysia.
“Bayangkan, anak-anak Felda ini baru sahaja menghidupkan semula orkestra ini, tetapi sudah berjaya membuktikan bahawa anak Felda benar-benar Mendonia!” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Kejayaan MAWO itu turut mengharumkan nama negara apabila mengetepikan tujuh kumpulan orkestra lain dari enam negara dalam kategori kelas pertengahan (middle class), sekali gus menjadi satu-satunya peserta dari Asia yang menawan pentas antarabangsa tersebut.
Sementara itu, Felda dalam kenyataan memaklumkan MAWO dinobatkan sebagai penerima markah tertinggi oleh barisan juri profesional berdasarkan kualiti persembahan, kecekapan teknikal serta penguasaan komposisi muzik bertaraf antarabangsa.
Festival yang berlangsung pada 20 dan 21 Jun itu menyaksikan penyertaan 13 kumpulan orkestra dari 11 negara, dengan Malaysia menjadi satu-satunya wakil dari benua Asia.
Pertandingan tersebut dibahagikan kepada tiga kategori iaitu lower class, middle class dan higher class, berdasarkan tahap kesukaran karya muzik serta keupayaan teknikal peserta.
“Kejayaan MAWO ini membuktikan bahawa pendidikan berteraskan Ulul Albab serta sokongan Felda terhadap pembangunan potensi generasi muda mampu melahirkan bakat cemerlang yang bersaing di pentas antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa pencapaian berkenaan bukan sahaja membanggakan warga MRSM dan Felda, malah menjadi inspirasi kepada seluruh anak muda luar bandar bahawa tiada batasan untuk berjaya di peringkat dunia.
Kumpulan orkestra MAWO dijangka tiba di tanah air pada 2 petang, esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial