AM

Penerbangan Sulung Cambodia Airways Phnom Penh-Pulau Pinang Bermula 26 Jun - Tiong

20/06/2025 10:23 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Cambodia Airways akan memulakan penerbangan sulung dari Phnom Penh ke Pulau Pinang mulai 26 Jun ini, sekali gus memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Kemboja dalam sektor pelancongan. 

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata beliau mengumumkan dan melancarkan penerbangan itu pada majlis makan malam bersama pemain industri sempena mempromosikan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang berlangsung di Kemboja, semalam.

Beliau berkata Cambodia Airways akan mengendalikan penerbangan dua kali seminggu iaitu pada  Khamis dan Ahad menggunakan pesawat Airbus A319 dengan kapasiti 150 tempat duduk.

“Ini adalah satu pencapaian penting dalam usaha meningkatkan keterhubungan antara kedua-dua negara, membuka lebih banyak peluang kerjasama dalam bidang pelancongan, perniagaan dan pertukaran budaya, serta menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Pada masa sama, saya juga menggesa Cambodia Airways untuk menambah lebih banyak penerbangan terus,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Tiong berkata pada majlis berkenaan, beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh hubungan Malaysia-Kemboja, khususnya dalam sektor pelancongan, seni dan budaya memandangkan kedua-dua negara berada di bawah satu bumbung iaitu ASEAN.

“Pelancongan adalah satu daripada pemacu yang paling penting untuk pertumbuhan ekonomi, pemahaman budaya dan pemerkasaan komuniti. Apabila dunia kembali bergerak setelah terhenti seketika akibat pandemik (COVID-19), maka pentingnya strategi yang berkesan bagi mencapai apa yang dihasratkan demi manfaat rakyat kedua-dua negara.

“Saya nyatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian, bukan sahaja budayanya sahaja. Dari kesibukan di Kuala Lumpur ke pantai-pantai indah di Langkawi, dari tanah tinggi Cameron yang sejuk ke hutan rimba Borneo, Malaysia menawarkan sesuatu yang istimewa untuk setiap pengembara,” katanya.

Tiong turut mengajak pemain industri dan pelabur di Kemboja termasuk pembuat dasar untuk menjalin kerjasama serta membuka lebih banyak laluan udara, menawarkan pakej destinasi menarik dan memberi akses visa yang dipermudahkan untuk pengembara.

Sebelum itu, Tiong turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Kemboja Hun Manet bagi membincangkan beberapa perkara termasuk meneroka peluang baharu bagi memperluas kerjasama pelancongan antara kedua-dua negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan