AM

Portal eGUMIS Terima Anugerah "Malaysia Public Sector Initiative Of The Year"

20/06/2025 02:59 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Portal eGUMIS yang dibangunkan Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) dianugerahkan sebagai Malaysia Public Sector Initiative of the Year dalam GovMedia Conference & Awards 2025 yang berlangsung di Singapura semalam.

JANM memaklumkan anugerah peringkat Asia itu bertujuan mengiktiraf pencapaian cemerlang dan inovasi dalam pelaksanaan sistem digital oleh agensi-agensi kerajaan, khususnya yang memberikan manfaat langsung kepada rakyat.

“Anugerah ini merupakan satu pengiktirafan penting terhadap komitmen JANM dalam meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam melalui pendigitalan dan inovasi sistem,” menurut JANM dalam kenyataan hari ini. 

Pengarah Bahagian Pengurusan Wang Tak Dituntut (WTD) Nawiah Mohet mewakili jabatan di bawah Kementerian Kewangan itu bagi menerima anugerah yang dianjurkan Charlton Media Group Pte Ltd. 

Portal eGUMIS ialah sistem dalam talian untuk semakan dan tuntutan WTD yang mula diperkenalkan pada 2020 dan setakat 2024, hampir 5.7 juta pengguna mendapat manfaat daripada sistem ini dalam urusan berkaitan WTD.

“Transformasi digital inovatif ini bukan sahaja mempercepat penyampaian perkhidmatan, tetapi juga memastikan tahap ketelusan, ketepatan dan kepuasan rakyat yang lebih tinggi.

“Selain itu, pelaksanaan eGUMIS dengan keupayaan Proses Automasi Robotik (RPA) merupakan pencapaian di bawah Projek Reformasi Karenah Birokrasi (RKB) sekali gus membuktikan komitmen JANM dalam menyediakan perkhidmatan kewangan yang responsif dan berteraskan rakyat,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan