JENAYAH & MAHKAMAH

Taktik Edar Dadah Guna Kereta Sewa Terbongkar, Pasangan Suami Isteri Antara Empat Ditahan

20/06/2025 11:25 AM

SEPANG, 20 Jun (Bernama) -- Polis berjaya membongkar taktik sindiket mengedar dadah menggunakan kereta sewa yang aktif sejak sembilan tahun lepas selepas menahan tiga lelaki dan seorang wanita dalam operasi di sekitar sini dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Norhizam Bahaman berkata polis turut merampas pelbagai jenis dadah antaranya 515 gram syabu, 14 gram ketamin 65 gram heroin dan 300 biji eramin 5 bernilai kira-kira RM36,500 dalam operasi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Sepang itu.  

Beliau berkata semua suspek yang berumur  27 hingga 39 tahun, termasuk satu pasangan suami isteri itu direman lima hingga tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kesemua suspek dipercayai aktif menjalankan aktiviti mengedar dadah sejak 2016, dipercayai menggunakan kereta sewa untuk beroperasi dengan kadar sewaan RM100 sehari,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Norhizam berkata mereka dipercayai dibayar sekitar RM1,600 untuk setiap penghantaran dadah kepada pelanggan di daerah ini, dan semakan awal mendapati dua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau, antaranya berkaitan dadah.

Beliau berkata ketiga-tiga lelaki yang ditahan didapati positif dadah jenis amphetamine dan methapetamin manakala wanita berkenaan negatif dadah, dan polis percaya masih ada saki baki anggota sindiket ini yang bebas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan