AM

MPI Lancar e-Jurnal Kewartawanan Pada Malam Wartawan Malaysia 2025 Esok

19/06/2025 11:17 PM

PUTRAJAYA, 19 Jun (Bernama) -- Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dijadual melancarkan e-Jurnal Kewartawanan terbitan Institut Akhbar Malaysia (MPI) pada acara kemuncak Malam Wartawan Malaysia 2025 yang akan berlangsung esok di Hotel Majestic, Kuala Lumpur.

E-Jurnal berkenaan merupakan penerbitan ilmiah sulung oleh MPI yang bertujuan memperkasakan penulisan berasaskan kajian dalam bidang kewartawanan, media dan komunikasi, khususnya dalam kalangan pengamal media tanah air.

Ketua Pegawai Eksekutif MPI Ainol Amriz Ismail berkata penerbitan itu mencerminkan komitmen MPI dalam memartabatkan budaya ilmu dan menyumbang ke arah pemerkasaan landskap kewartawanan negara.

“Ini merupakan satu lagi usaha MPI dalam menyemarakkan budaya ilmu dan memperkukuh landskap kewartawanan negara melalui pendekatan akademik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Majlis berprestij anjuran MPI itu dijangka dihadiri hampir 1,000 tetamu termasuk tokoh wartawan, pengarang kanan, pengamal media serta rakan strategik dari seluruh negara.

PETRONAS, yang menjadi penaja utama, turut mengesahkan kehadiran barisan pengurusan kanannya bagi memeriahkan majlis yang menyaksikan penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI–PETRONAS 2024 melibatkan 23 kategori utama.

Ainol Amriz, yang juga Pengerusi Bersama majlis, berkata MPI turut menampilkan pameran khas yang memaparkan sejarah institusi itu dan evolusi Hadiah Kewartawanan Malaysia sejak mula diperkenalkan.

“Majlis ini bukan sahaja mengiktiraf karya wartawan terbaik negara, malah mengangkat sumbangan kewartawanan sebagai pemacu kepada kemajuan masyarakat dan negara,” katanya.

Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI–PETRONAS 2024 menawarkan ganjaran keseluruhan bernilai RM450,000 yang merangkumi trofi, sijil dan wang tunai kepada pemenang emas, manakala pemenang perak dan gangsa menerima sijil serta wang tunai.

Sebanyak 549 penyertaan diterima pada edisi kali ini daripada 58 organisasi media termasuk dari Sabah dan Sarawak, mencerminkan komitmen tinggi terhadap penghasilan karya berkualiti serta berimpak besar.

MPI turut menerima pencalonan bagi tiga kategori khas yang menghargai sumbangan wartawan sepanjang kerjaya mereka.

Senarai pemenang akan diumumkan secara berperingkat mengikut segmen penyampaian anugerah sepanjang malam berkenaan.

--  BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan