KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Methodist College Kuala Lumpur (MCKL) buat julung kali bakal menganjurkan acara amal Dash for Charity, iaitu larian santai sejauh lima kilometer (km) pada 5 Julai di Taman Tasik Titiwangsa untuk membantu kanak-kanak berkeperluan khas.
MCKL dalam satu kenyataan memaklumkan inisiatif itu bertujuan mengumpul dana untuk Yayasan Sin Chew dan Persatuan Kebajikan Sri Eden Selangor dan Kuala Lumpur, kedua-duanya pertubuhan yang menumpukan kepada membantu kanak-kanak kurang bernasib baik yang mengalami masalah perkembangan dan pembelajaran.
Ketua Pegawai Eksekutif MCKL Dr Chua Ping Yong berkata acara itu bukan sahaja bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat, malah bagi memupuk kesedaran kepada rakyat Malaysia, bermula daripada kanak-kanak sehingga ke golongan muda untuk bersama-sama membantu golongan yang memerlukan.
“Kami amat teruja untuk menganjurkan Dash for Charity yang menjadi tunjang kepada komitmen MCKL dalam perkhidmatan komuniti,” katanya.
Menurut kenyataan itu, Persatuan Kebajikan Sri Eden adalah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang terletak di Cheras, menyediakan pendidikan, terapi, dan latihan kemahiran kepada kanak-kanak serta remaja berkeperluan khas termasuk autistik, ADHD, sindrom Down, dan masalah pembelajaran lain.
Yayasan Sin Chew pula adalah sebuah yayasan di bawah Sin Chew Daily, menawarkan bantuan bencana dan perubatan, serta penajaan pendidikan untuk komuniti yang terabai di seluruh Malaysia melalui inisiatif seperti program ‘We Care: Sponsor A Child’.
Acara amal itu juga akan diserikan dengan persembahan dan aktiviti interaktif untuk kanak-kanak.
Walaupun pendaftaran untuk larian telah ditutup, orang ramai dialu-alukan untuk menghulurkan sumbangan melalui pautan: https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLSeVe6yBGtkCw9iePsqNoolbJBt4Nu6RqBm9FarWC3afDXtfTA/viewform
MCKL turut merakamkan penghargaan kepada penaja utama - German Educare, Monash University Malaysia, University of Nottingham Malaysia, Braveforce Sdn Bhd, dan UOB Malaysia, serta para penyumbang lain yang turut menjayakan acara itu.
Untuk sebarang pertanyaan media atau maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi: monisha.sk@mckl.edu.my di talian 03-2274 1851 atau layari www.mckl.edu.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial