AM

Tindakan Bendung Jualan Dadah Dalam Talian Akan Dibincangkan - Fahmi

18/06/2025 05:58 PM

PUTRAJAYA, 18 Jun (Bernama) -- Satu mesyuarat khas akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan langkah menangani penjualan bahan terlarang, termasuk cecair vape yang mengandungi dadah, dan dijual secara dalam talian.

Jurucakap Kerajaan MADANI merangkap Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata mesyuarat itu akan melibatkan Kementerian Komunikasi, Kementerian Kesihatan (KKM), serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Beliau berkata hasil perbincangan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri bagi tindakan lanjut, termasuk terhadap individu yang didapati menjual bahan terlarang serta platform dalam talian yang membenarkan penjualannya.

"Ia termasuk penjualan cecair yang dipercayai mengandungi dadah terlarang melalui aplikasi, platform media sosial dan platform e-dagang.

"Perkara ini menunjukkan keprihatinan Jemaah Menteri dan kerajaan terhadap situasi yang sedang berlaku dalam masyarakat, apabila produk terlarang dijual secara dalam talian dengan begitu berleluasa," katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet hari ini.

Kebelakangan ini, timbul kebimbangan dalam kalangan masyarakat mengenai kewujudan bahan atau dadah sintetik dalam produk vape dan e-rokok yang dijual secara dalam talian.

Beberapa kes kematian pelajar yang dikaitkan dengan bahan psikoaktif seperti 'magic mushroom' dalam cecair vape turut dilaporkan.

Pada 5 Jun lepas, Fahmi berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah diarahkan untuk memantau aktiviti penjualan bahan terlarang yang disyaki dilakukan melalui beberapa platform media sosial.

Sementara itu, KKM telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi meneliti perundangan berkaitan untuk menangani isu tersebut di bawah Akta Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2024.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan