AM

SOME Ke-43: MoU APG, APAEC Fasa Kedua Antara Agenda Utama Dimuktamadkan - KSU Petra

18/06/2025 03:59 PM

KUCHING, 18 Jun (Bernama) -- Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Tenaga ASEAN ke-43 (SOME) mencatat pencapaian penting menerusi persetujuan konsensus perwakilan terhadap pelbagai agenda strategik sektor tenaga serantau.

Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Datuk Mad Zaidi Mohd Karli berkata antara agenda utama yang dimuktamadkan ialah Memorandum Persefahaman (MoU) Dipertingkat Grid Tenaga ASEAN (APG) dan Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC) Fasa Kedua bagi tempoh 2026–2030.

“MoU APG akan menjadi rujukan utama bagi pelaksanaan projek APG yang menyasarkan hubungan grid rentas sempadan, dan dijangka ditandatangani oleh negara-negara ASEAN pada Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN di Kuala Lumpur, Oktober ini.

“Sementara itu, APAEC akan meneruskan kesinambungan daripada Fasa Satu dengan memberi penekanan kepada peralihan tenaga bersih, keterjaminan tenaga, dan integrasi tenaga serantau secara menyeluruh,” katanya pada sidang media sempena SOME di sini, hari ini. 

Beliau berkata mesyuarat turut mencapai kata sepakat terhadap kemajuan pelaksanaan enam Keutamaan Tahunan sektor tenaga bagi 2025, termasuk penyediaan rangka kerja pembangunan kabel dasar laut, penandatanganan Perjanjian Pengganti kepada Perjanjian Rangka Kerja ASEAN Mengenai Keselamatan Petroleum (APSA), serta pelancaran Pangkalan Data Kecekapan Tenaga ASEAN dan Platform Pelaburan untuk Bangunan.

Selain itu, katanya, mesyuarat turut bersetuju memuktamadkan Pelan Tindakan Tenaga Boleh Baharu Jangka Panjang (LTRM), Pembangunan Kerangka Sijil Tenaga Boleh Baharu ASEAN (REC), serta Kerangka Pelaksanaan Loji Kuasa Nuklear (NPP).

“Semua persetujuan yang dicapai di peringkat pegawai kanan ini dijangka dibawa ke Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada Oktober ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Malaysia dilihat berpotensi tinggi untuk menerajui peralihan tenaga di rantau ini berdasarkan kekuatan dasar dan keupayaan infrastruktur yang dimilikinya. 

Katanya, pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menyasarkan 70 peratus kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2050 memperlihatkan komitmen serius negara dalam agenda tenaga bersih.

Menurutnya, selain menaik taraf infrastruktur grid elektrik, usaha Malaysia memperkukuh sistem penyimpanan tenaga dan mendigitalisasikan rangkaian kuasa menjadikan negara ini calon ideal untuk menjadi pemacu utama integrasi tenaga boleh baharu serantau.

“Dengan ekosistem pelaburan yang kondusif, dasar mesra pelabur dan insentif fiskal yang menarik, Malaysia dijangka bukan sahaja menerajui perubahan, malah menjadi destinasi utama pelaburan tenaga bersih ASEAN,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata penganjuran SOME di Sarawak turut memberi impak positif kepada negeri itu. 

“Delegasi ASEAN berpeluang melihat sendiri potensi besar Sarawak dalam sektor tenaga boleh baharu, memandangkan negeri ini kaya dengan sumber semula jadi dan menunjukkan komitmen yang kukuh terhadap pembangunan tenaga mampan.

“Sarawak dijangka memainkan peranan penting dalam pelaksanaan inisiatif serantau, khususnya dalam pembangunan tenaga hidro dan tenaga hijau,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan