AM

FIMI Lonjak Industri Penggambaran, Tarik Pelabur Dan Buka Peluang Pekerjaan

16/06/2025 04:43 PM

Oleh Norhidayyu Zainal

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab penggambaran serantau apabila berjaya menarik pelaburan asing dalam sektor kreatif melalui Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI), sekali gus membuka peluang pekerjaan serta memperkasa tenaga kerja tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata antara produksi terkini yang memanfaatkan insentif berkenaan ialah siri televisyen adaptasi novel Lord of the Flies terbitan Sony Pictures dan British Broadcasting Corporation (BBC), yang menjalani penggambaran di Pulau Langkawi, Kedah, pada penghujung tahun lepas.

“Produksi tersebut membawa lebih 30 pelakon kanak-kanak dari luar negara bersama ibu bapa dan guru mereka, serta menyewa sebuah hotel utama di Langkawi selama hampir lima bulan.

“Selaras dengan syarat FIMI, produksi ini turut menggaji kru belakang tabir dalam kalangan penduduk tempatan yang telah menjalani latihan khas bagi kerja-kerja produksi,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, latihan tersebut dilaksanakan melalui kerjasama antara Finas dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menerusi penganjuran kursus asas penggambaran kepada pekerja sektor pelancongan tempatan.

Sebagai langkah penambahbaikan, Azmir Saifuddin berkata kadar minimum pengambilan kru tempatan bagi produksi luar negara akan dinaikkan daripada 30 kepada 40 peratus bermula tahun depan.

“Langkah ini bukan sahaja membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia, malah mempercepat pembangunan kemahiran dalam kalangan kru tempatan melalui pendedahan kepada produksi antarabangsa,” katanya.

Sejak FIMI diperkenalkan pada 2013 hingga Mei lepas, sebanyak 128 projek penerbitan telah diluluskan di bawah insentif tersebut, melibatkan 76 produksi tempatan dan 52 produksi antarabangsa, dengan jumlah pembayaran rebat melebihi RM419 juta serta pelaburan langsung mencecah RM2.71 bilion.

Azmir Saifuddin berkata walaupun beberapa negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Filipina turut menawarkan insentif penggambaran, Malaysia mempunyai kelebihan tersendiri.

“Penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan kru tempatan, kestabilan ekonomi, serta sistem kelulusan permit yang cekap menerusi Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) merupakan antara faktor yang memberi nilai tambah kepada Malaysia sebagai destinasi pilihan penggambaran,” katanya.

“Malaysia menawarkan lokasi menarik, kos penggambaran yang kompetitif dan persekitaran mesra produksi. Apa yang lebih penting, kita sedang membina ekosistem menyeluruh bermula daripada latihan bakat, penggunaan teknologi terkini sehinggalah ke pascaproduksi,” katanya.

Sementara itu, bagi memperkukuh promosi FIMI, Finas akan memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Tourism Malaysia dalam masa terdekat, antara lain bagi menjadikan filem sebagai medium promosi pelancongan.

“Menerusi kerjasama ini, kita bukan sahaja ingin mempromosikan Malaysia sebagai lokasi penggambaran, tetapi juga mengetengahkan destinasi pelancongan tempatan kepada khalayak antarabangsa melalui filem-filem yang menjalani penggambaran di sini.

“Kerjasama ini turut membuka laluan kepada penganjuran Minggu Filem Malaysia di luar negara, dengan acara terdekat dijadual berlangsung di Beijing pada Ogos ini yang akan diketuai Pengerusi Finas Datuk Hans Isaac,” katanya.

Azmir Saifuddin berkata Finas juga sedang mengembangkan kerjasama strategik dengan beberapa negara luar termasuk China, sempena lawatan rasmi Presiden negara itu ke Malaysia baru-baru ini, selain rundingan sedang berjalan dengan India dan Indonesia.

Seiring dengan itu, Finas menyasarkan Malaysia bukan sahaja sebagai lokasi penggambaran utama, malah menjadi hab pendidikan dan teknologi perfileman serantau dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Kita mahu kru Malaysia mendapat peluang bekerja di luar negara, pascaproduksi tempatan menghasilkan kandungan untuk pasaran Asia Tenggara, dan universiti-universiti tempatan tampil sebagai pusat latihan profesional dalam bidang ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan