BERITA TERGEMPAR   Thailand's Constitutional Court Tuesday suspended PM Paetongtarn pending deliberation of a leaked phone call case | 
 DUNIA

Tiada Hasil Utama Hari Pertama Perbincangan Sempadan Kemboja-Thailand

14/06/2025 11:19 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 14 Jun (Bernama) -- Pusingan pertama mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Bersama (JBC) Kemboja-Thailand di Phnom Penh berakhir tanpa sebarang kejayaan besar.

Menurut agensi berita negara Agence Kampuchea Presse, kedua-dua pihak akan menyambung semula rundingan dalam mesyuarat suruhanjaya keenam pada pagi Ahad.

“Mesyuarat JBC di Phnom Penh ditangguhkan sementara kira-kira 4 petang dan akan disambung semula pada 15 Jun 2025,” menurut media negara itu.

Mesyuarat JBC yang sedang berlangsung ini adalah yang pertama dalam tempoh 12 tahun.

Dialog tertutup itu dipengerusikan oleh Lam Chea, Menteri yang bertanggungjawab ke atas Sekretariat Negara bagi Hal Ehwal Sempadan Kemboja.

Delegasi Thailand pula diketuai oleh Prasas Prasasvinitchai, penasihat kepada Kementerian Luar yang bertanggungjawab dalam hal ehwal sempadan.

Ini adalah dialog diplomatik rasmi pertama sejak ketegangan tercetus pada 28 Mei lalu apabila tentera Kemboja dan Thailand bertempur seketika di kawasan berhampiran wilayah utara Preah Vihear, Kemboja. Seorang sarjan Kemboja berusia 48 tahun terbunuh dalam insiden itu.

Kedua-dua negara jiran sudah lama berselisih pendapat berhubung sempadan darat sepanjang 817 kilometer yang belum dimuktamadkan.

Perdana Menteri Kemboja Hun Manet pada Jumaat menyatakan secara tegas yang kerajaannya tidak akan membincangkan empat isu tertentu dalam mesyuarat JBC kali ini. Sebaliknya, beliau berkata kesemua isu itu akan dirujuk kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), tanpa mengira sama ada Thailand bersetuju atau tidak.

Beliau berkata Kemboja akan mengemukakan kes itu kepada ICJ pada Ahad (15 Jun).

Thailand pula memilih untuk menyelesaikan semua isu sempadan secara dua hala.

Empat isu pertikaian itu melibatkan kuil purba iaitu Ta Moan Thom, Ta Moan Tauch, Ta Krabei, dan kawasan Segi Tiga Zamrud yang bersempadan dengan Kemboja, Laos dan Thailand.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan