AM

Ramanan Salur RM100,000 Melalui Projek Mesra Rakyat, Naik Taraf Fasiliti Dua Sekolah Di Sungai Buloh

14/06/2025 06:42 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Ahli Parlimen Sungai Buloh Datuk Seri R. Ramanan memperuntukkan RM100,000 melalui Projek Mesra Rakyat (PMR) bagi menaik taraf fasiliti dua sekolah menengah di kawasan parlimennya.

Ia melibatkan SMK Sierramas dan SMK Seksyen 4 Kota Damansara, masing-masing menerima RM50,000 bagi tujuan pembinaan laluan berbumbung, bilik darjah baharu, baik pulih kantin dan kemudahan asas lain yang memerlukan penyelenggaraan segera.

Naib Presiden PKR itu berkata inisiatif tersebut bertujuan menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan selamat, selaras dengan pertambahan jumlah pelajar serta keperluan pendidikan semasa.

“Kita mahu anak-anak Sungai Buloh mendapat akses kepada pendidikan terbaik. Sekolah mereka juga perlu lengkap dengan kemudahan yang mesra pembelajaran dan selamat. Ini adalah pelaburan untuk masa depan negara,” katanya ketika merasmikan program tersebut hari ini.

Dalam majlis itu, beliau turut mengumumkan lebih 10 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 daripada dua sekolah berkenaan akan menerima Insentif Khas Pendidikan daripada Yayasan Bank Rakyat minggu hadapan sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik mereka.

Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi turut menyumbangkan RM6,000 secara peribadi kepada penerima Anugerah Kecemerlangan SPM daripada SMK Seksyen 4 Kota Damansara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan