PUTRAJAYA, 13 Jun (Bernama) -- Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan 2024/2025 menghimpunkan profesional peringkat tinggi, berwawasan dan pembuat perubahan daripada pelbagai industri untuk meraikan pencapaian dan sumbangan mereka kepada kecemerlangan kepimpinan.
Pengarah Pusat Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Negara, Kementerian Ekonomi Asfaazam Kasbani berkata anugerah itu juga menyatukan individu luar biasa daripada pelbagai sektor sekali gus mengiktiraf sumbangan cemerlang mereka.
"Satu penghormatan besar bagi Malaysia untuk merasmikan Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan. Kami berharap platform ini terus memberi inspirasi kepada pemimpin perniagaan dan usahawan baharu di peringkat tempatan dan antarabangsa.
"Anugerah ini bertujuan menyokong perjalanan keusahawanan mereka dalam negara kita yang penuh bertenaga dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara," kata Asfaazam dalam ucapannya mewakili Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib pada majlis itu.
Acara berkenaan menampilkan ucaptama, sesi rangkaian dan penyampaian anugerah yang menyerlahkan pencapaian unik dan falsafah kepimpinan penerima tahun ini.
Dianjurkan oleh Des Prix Infinitus Media, anugerah itu mencerminkan pandangan inklusif, menyambut baik calon antarabangsa dan meraikan kerjasama dan impak rentas sempadan.
Pengarah Urusan Des Prix Infinitus Media Hagenz Choo berkata dalam ucapannya merumuskan bahawa pemimpin cemerlang yang terus memberi inspirasi untuk mencapai kemajuan dan ketahanan dalam dunia dinamik kini tidak cukup sekadar dipuji dengan kata-kata.
Beliau berkata dedikasi pemimpin yang luar biasa itu bukan sahaja memacu kejayaan dalam organisasi mereka tetapi juga menyumbang secara positif kepada masyarakat kerana kepimpinan sebenar melangkaui gelaran malah ia mengenai pengaruh, matlamat dan keberanian untuk memacu perubahan.
Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan terus berperanan sebagai platform untuk meningkatkan standard kepimpinan dan memupuk hubungan bermakna dalam kalangan pemimpin serantau dan global selain menonjolkan kuasa yang ada pada wawasan, ketabahan dan potensi manusia.
Antara penerima anugerah berkenaan ialah Peneraju Inovatif Terbaik Datuk Seri Jaseni Maidinsa daripada Pengurusan Aset Air Berhad, Tan Sri Anthony Francis Fernandes daripada Capital A Berhad dan Burhanuddin Md. Radzi daripada Les’ Copaque Production Sdn Bhd.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial