AM

Nahas UPSI: MOTAC Keluarkan Notis Pemeriksaan, Surat Tunjuk Sebab Terhadap Entiti Berkaitan

13/06/2025 04:12 PM

PUTRAJAYA, 13 Jun (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah mengeluarkan notis pemeriksaan dan surat tunjuk sebab kepada beberapa entiti perniagaan yang berkaitan dengan kemalangan bas persiaran melibatkan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Isnin lepas.

MOTAC dalam kenyataan hari ini memaklumkan tindakan berkenaan diambil selepas pihaknya menjalankan siasatan di bawah Akta Industri Pelancongan 1982, susulan laporan kemalangan yang berlaku di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak.

“MOTAC juga akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia, Agensi Pengangkutan Awam Darat dan Jabatan Pengangkutan Jalan bagi menyelesaikan siasatan mengikut peruntukan undang-undang agar hukuman setimpal dikenakan dan keluarga mangsa mendapat pembelaan sewajarnya.

“Tindakan lanjut akan diambil setelah selesai siasatan,” menurut MOTAC.

MOTAC memaklumkan pihaknya juga turut menziarahi mangsa serta keluarga terlibat dalam insiden yang meragut 15 nyawa itu.

MOTAC turut menegaskan komitmen kementerian itu dalam memastikan aktiviti pelancongan di Malaysia sentiasa dilaksanakan dengan selamat, beretika dan bermanfaat untuk generasi masa depan.

“MOTAC merakamkan takziah kepada semua keluarga mangsa dan mendoakan agar semua pelajar yang tercedera diberikan kesembuhan segera,” menurut kenyataan itu.

Dalam kejadian Isnin lepas, 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas yang mereka naiki dari Jertih, Terengganu ke kampus utama di Tanjung Malim, Perak terbalik selepas terlibat dalam kemalangan di laluan JRTB.

Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 individu cedera, termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Perodua Alza.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan