AM

COVID-19 : Subvarian JN.1 Tidak Berbahaya, Tiada Kematian Dilaporkan -- KKM

13/06/2025 12:02 PM

PUTRAJAYA, 13 Jun (Bernama) -- Masyarakat tidak perlu bimbang dengan penularan subvarian baharu COVID-19, JN.1, kerana ia tidak berbahaya berbanding varian-varian pada awal kemunculan wabak itu, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

Dalam kenyataan hari ini, KKM memaklumkan bahawa meskipun terdapat peningkatan kes COVID-19 dalam komuniti sejak kebelakangan ini, purata kes mingguan masih kekal di bawah paras amaran kebangsaan dan tiada kematian dilaporkan setakat ini.

“Situasi ini selaras dengan peralihan fasa hidup bersama COVID-19. Jangkitan juga dapat dikawal sekiranya tahap imunisasi dalam tubuh berada pada tahap optimum,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, golongan berisiko tinggi digalakkan mendapatkan suntikan dos tambahan vaksin COVID-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan, komplikasi serius dan kematian akibat wabak berkenaan.

Pemberian vaksin COVID-19 turut digalakkan kepada individu berisiko tinggi, termasuk mereka yang belum menerima vaksin sebelum ini; individu berumur 18 tahun dan ke atas; individu berumur 12 tahun dan ke atas yang mempunyai komorbiditi atau masalah sistem imun (immunocompromised); ibu mengandung serta anggota kesihatan.

Vaksin COVID-19 diberikan secara sukarela dan percuma di klinik kesihatan kerajaan terpilih di seluruh negara dan individu yang layak boleh membuat tempahan janji temu melalui aplikasi MySejahtera.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan