BERITA TERGEMPAR | Thailand's Constitutional Court Tuesday suspended PM Paetongtarn pending deliberation of a leaked phone call case | |
KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Malaysia komited untuk meneroka serta membangunkan sumber alternatif kepada kayu menerusi pendekatan strategik, inovatif dan mampan bagi memenuhi peningkatan permintaan global terhadap produk kayu tempatan.
Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dalam kenyataan hari ini berkata inisiatif itu penting bukan sahaja demi kelangsungan industri perkayuan negara, malah untuk memastikan Malaysia terus kekal sebagai antara pengeksport utama produk kayu di peringkat antarabangsa.
"Seiring dengan peningkatan permintaan global terhadap produk kayu tempatan, keutamaan kini diberikan kepada jaminan bekalan bahan mentah yang mampan dan berterusan," menurut FRIM.
Industri perkayuan negara mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan dengan jumlah eksport bernilai RM22.9 bilion pada tahun lepas.
Menurut FRIM, kayu memainkan peranan penting dalam pelbagai sektor termasuk pembuatan perabot, penghasilan biofuel dan biokomposit. Namun begitu, peranan hutan asli dalam menyediakan perkhidmatan ekosistem seperti kawalan perubahan iklim menjangkaui kepentingan hasil kayu semata-mata.
Sehubungan itu, katanya, usaha mencari alternatif lestari kepada sumber kayu dilihat semakin mendesak.
Sebagai langkah proaktif, kerajaan menerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) melaksanakan Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber hutan semula jadi.
"Program ini merangkumi penanaman lapan spesies pokok bernilai tinggi seperti akasia, khaya, jati dan kelempayan, serta tanaman cepat tumbuh seperti eucalyptus dan buluh yang berpotensi memenuhi keperluan industri tanpa menjejaskan hutan asli," jelas FRIM.
FRIM turut memainkan peranan penting dalam inisiatif berkenaan melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang menumpukan kepada bidang perladangan hutan, pembaikbiakan pokok berkualiti, teknologi pemprosesan dan analisis kualiti kayu.
"Hasil kajian FRIM membuktikan potensi tinggi beberapa spesies pokok ladang terpilih dalam memenuhi keperluan industri serta menyokong kelestarian alam sekitar," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial