AM

PGA Patahkan Dua Cubaan Seludup Barang Keperluan Harian Di Tumpat

11/06/2025 03:15 PM

KOTA BHARU, 11 Jun (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara berjaya mematahkan dua cubaan penyeludupan barangan keperluan harian membabitkan nilai rampasan melebihi RM64,000 dalam dua serbuan berasingan di sekitar Tumpat, semalam.

Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata dalam kejadian pertama pada 11.30 pagi, sepasukan anggota daripada Batalion 9 PGA yang menjalankan Op Taring Wawasan Kelantan menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan di pangkalan haram Stor Kayu Kampung.

Beliau berkata hasil pemeriksaan terhadap kenderaan itu menemukan 603 kilogram (kg) makanan sejuk beku, 240 kg ayam sejuk beku dan beberapa barangan runcit yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran, Thailand.

“Pemandu kenderaan, seorang wanita tempatan berumur 48 tahun, dipercayai bertindak sebagai penghantar barangan untuk dijual di pasaran tempatan.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan berjumlah RM62,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. Suspek dan barang rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Kastam di Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan di Kampung Cherang Melintang, Tumpat kira-kira 9 pagi, pasukan rondaan PGA menjumpai sebuah kenderaan ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah rumah.

“Hasil pemeriksaan menemukan 650 kg beras pelbagai jenis yang dipercayai diseludup dari Thailand, dengan nilai anggaran RM2,600. Barangan itu dipercayai cuba dipasarkan tanpa kebenaran sah,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994, dan rampasan telah diserahkan kepada Kawalselia Padi dan Beras Negara untuk tindakan lanjut.

“PGA komited untuk terus mempertingkatkan kawalan sempadan dalam membanteras kegiatan penyeludupan yang bukan sahaja menjejaskan ekonomi negara, malah memberi kesan kepada keselamatan serta kesejahteraan rakyat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan