KUANTAN, 10 Jun (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Majlis Santapan Diraja bersempena dengan Mesyuarat ke-8 Majlis Penasihat Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) mengenai Dadah Berbahaya (AIPACODD) 2025 di sini malam ini.
Turut berangkat mengiringi baginda ialah Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Keberangkatan baginda berdua disambut Presiden AIPA merangkap Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin dan barisan kepimpinan kerajaan negeri yang lain.
Sejurus tiba, baginda berdua berkenan meluangkan masa melawat reruai yang mempamerkan kain tenun Pahang sebelum Al-Sultan Abdullah menyantuni para delegasi semasa majlis santapan itu.
Lebih istimewa, makan malam berkenaan dihidangkan dengan juadah tradisional Pahang antaranya patin buah bakar tempoyak, patin buah gulai tempoyak dan pemanis mulut seperti puding raja serta kuih pena.
Majlis santapan itu dianjurkan atas perkenan Al-Sultan Abdullah, sebagai simbol sokongan institusi diraja terhadap diplomasi antara Parlimen, demi ASEAN yang lebih selamat dan mampan.
Mesyuarat AIPACODD bertemakan Uniting Parliaments for an Inclusive and Sustainable ASEAN in Addressing Contemporary Drug Challenges, bermula pada hari ini membincangkan komitmen negara anggota ASEAN dalam menangani cabaran semasa berkaitan dadah secara kolektif dan terangkum selain isu jenayah siber dan pemerdagangan manusia.
Mesyuarat akan diteruskan esok dengan sesi perbincangan dan pengesahan resolusi rasmi AIPACODD, sebelum diakhiri dengan majlis penutupan dan ucapan penghargaan oleh wakil Filipina selaku tuan rumah mesyuarat akan datang.
Terdahulu, baginda berkenan menerima menghadap Johari di Istana Abdulaziz, di sini dan meluangkan masa hampir satu jam berbincang dan bertukar-tukar pandangan sebelum berkenan ke santapan tengah hari bersama-sama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial