AM

Hari TVET Negara Sasar 150,000 Pengunjung, Tawar Lebih 5,000 Peluang Pekerjaan

10/06/2025 05:18 PM

PUTRAJAYA, 10 Jun (Bernama) -- Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2025 yang berlangsung selama tiga hari bermula esok menyasarkan 150,000 pengunjung dengan lebih 5,000 peluang pekerjaan ditawarkan melalui padanan kerjaya bersama majikan dari pelbagai sektor strategik.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sambutan itu melibatkan penyertaan meluas pelbagai agensi kerajaan, institusi TVET, industri serta masyarakat umum yang menyasarkan impak langsung terhadap pembangunan modal insan serta peluang pekerjaan.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan merasmikan sambutan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, Melaka pada Khamis ini.

“Majlis perasmian pada 12 Jun dijangka membawa beberapa pengumuman strategik berkaitan agenda pemerkasaan TVET negara. Antara tumpuan diberikan termasuklah usaha menggalakkan penyertaan meluas lepasan TVET dalam sektor keusahawanan berimpak tinggi selari dengan keperluan ekonomi semasa.

“Langkah ini diharap dapat memperkukuh peranan TVET sebagai pemacu pertumbuhan dalam bidang berpotensi tinggi,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Pelarasan Khas Hari TVET Negara 2025 hari ini.

Mengangkat tema ‘TVET Pilihan Utama Kerjaya’, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata sambutan itu melambangkan komitmen kerajaan untuk menjadikan TVET sebagai teras pembangunan negara selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang progresif, inklusif dan mampan.

Beliau berkata Hari TVET Negara 2025 terbahagi kepada empat segmen utama antaranya Hub TVET Convention, TVET Job Fair dan TVET Challenge.

Mengenai permohonan kemasukan menyertai kursus TVET melalui Unit Pengambilan TVET (UPTVET), beliau berkata sehingga kini sebanyak 140,000 permohonan telah diterima.

Bersempena dengan sambutan Hari TVET Negara 2025 itu juga, Malaysia akan menjadi tuan rumah Dialog Dasar Serantau Majlis TVET ASEAN keempat yang bertemakan “TVET untuk Kemajuan Luar Bandar dan Serantau” pada Rabu dan Khamis ini.

Hari TVET Negara yang disambut pada 2 Jun setiap tahun merupakan manifestasi komitmen dan iltizam kerajaan untuk menjadikan bidang TVET sebagai platform utama dalam melahirkan tenaga kerja masa depan yang dinamik, berkemahiran dan berdaya saing.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan