AM

Kontrak Penggajian Wajib Disetem Tahun Depan, Majikan Diingat Patuhi Undang-Undang - LHDN

06/06/2025 11:10 AM

PUTRAJAYA, 6 Jun (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumkan semua kontrak penggajian antara majikan dan pekerja wajib disetemkan mulai 1 Jan 2026.

LHDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan, ia selaras dengan pelaksanaan Sistem Taksir Sendiri Duti Setem (STSDS) yang akan dilaksanakan secara berfasa seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2025.

“Selaras dengan keputusan itu, LHDN telah memulakan aktiviti audit duti setem secara menyeluruh di seluruh negara bermula Januari lepas selepas mengeluarkan Rangka Kerja Audit Duti Setem (RKADS).

"Melalui aktiviti audit duti setem serta operasi pematuhan yang dilaksanakan, antara penemuan utama oleh pihak LHDN adalah dokumen kontrak penggajian antara majikan dan pekerja yang tidak disetemkan mengikut item 4, Jadual Pertama, Akta Setem 1949, iaitu duti setem yang ditetapkan adalah RM10," menurut kenyataan itu.

LHDN memaklumkan bagi mengurangkan beban majikan, Kementerian Kewangan telah membuat keputusan kontrak penggajian yang dimuktamadkan sebelum 1 Jan 2025 diberi pengecualian duti setem.

Hal ini berdasarkan kuasa yang diperuntukkan kepada Menteri Kewangan di bawah subseksyen 80(1A) Akta Setem 1949 dan peremitan penalti lewat penyeteman berdasarkan kuasa yang diperuntukkan kepada Pemungut Duti Setem di bawah subseksyen 47A(2) Akta Setem 1949.

Selain itu, kontrak penggajian yang dimuktamadkan mulai 1 Jan 2025 hingga 31 Dis 2025 adalah tertakluk kepada duti setem dan diberi peremitan penalti lewat penyeteman.

Ia berdasarkan kuasa yang diperuntukkan kepada Pemungut Duti Setem di bawah subseksyen 47A(2) Akta Setem 1949 dengan syarat dokumen kontrak penggajian tersebut disetemkan pada atau sebelum 31 Dis 2025.

LHDN memaklumkan keputusan lain yang diambil adalah kontrak penggajian yang dimuktamadkan mulai 1 Jan 2026 adalah tertakluk kepada kenaan duti setem dan kelewatan penyeteman kontrak penggajian akan dikenakan penalti sewajarnya.

LHDN turut menggesa semua majikan untuk menyemak dan mengemas kini kontrak penggajian yang telah dan akan ditandatangani untuk memastikan pematuhan terhadap keperluan penyeteman di bawah Akta Setem 1949. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan