AM

Sarawak Sasar Ternak 60,000 Lembu Menjelang 2030, Tingkat Keterjaminan Makanan 

05/06/2025 05:12 PM

SERIAN, 5 Jun (Bernama) -- Sarawak menyasarkan untuk menternak 60,000 ekor lembu menjelang 2030 sebagai usaha meningkatkan tahap sara diri (SSL) dan keterjaminan makanan negeri.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata pada masa ini SSL daging lembu negeri ini ialah 15 peratus.

“Sarawak berada di landasan tepat dalam mencapai sasaran ternakan 60,000 lembu menjelang 2030. Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) memiliki ladang di Australia, dan kita turut mempunyai kemudahan fidlot di Ladang Karabungan (Miri).

“Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (Salcra) juga terlibat dalam penternakan ruminan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Kompleks Penyembelihan Halal Siburan di sini hari ini.

Dr Rundi berkata Sarawak juga memerlukan lebih ramai doktor veterinar bagi menangani kekurangan dalam bidang kepakaran itu.

Beliau berkata bagi menyelesaikan masalah itu, Sarawak merancang menubuhkan fakulti veterinar sendiri di kawasan Semenggok di sini, dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Malaysia sendiri mengalami kekurangan doktor veterinar. Dengan penubuhan fakulti ini, kita menyasarkan melahirkan 50 graduan veterinar setiap tahun,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan