SUKAN

DPMM FC Sedia Beri Saingan Sengit, Sasar Kedudukan Enam Terbaik Liga Super

03/06/2025 06:31 PM

JOHOR BAHRU, 3 Jun (Bernama) -- Kelab dari Brunei DPMM FC menyatakan kesediaan untuk memberikan saingan sengit dengan menyasarkan kedudukan enam terbaik dalam Liga Super musim 2025/2026 yang akan membuka tirainya pada Ogos ini.

Pengurus Besar DPMM FC Md Ali Momin berkata perbincangan bagi memastikan pasukan di bawah kendalian Ketua Jurulatih James McAllister dari Scotland itu sedang dijalankan termasuk mengikat pemain Malaysia.

Beliau berkata berdasarkan perancangan setakat ini, kelab akan mendaftar kira-kira tujuh pemain import serta 15 pemain tempatan Brunei.

“Dengan kesepakatan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), pemain Malaysia boleh bermain di Brunei (sebagai pemain tempatan) dan ia adalah petanda baik untuk kami mengisi posisi-posisi yang diperlukan.

“Mungkin ada beberapa posisi yang kita perlukan iaitu dalam dua atau tiga pemain (tempatan Malaysia) yang akan cuba kita dapatkan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Penyertaan DPMM FC ke Liga Malaysia (Liga-M) 2025-2028 di sini hari ini.

Turut hadir Presiden MFL Datuk Ab Ghani Hassan, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL Mohd Shazli Shaik Mohd dan Ahli Majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) Tan Sri Hamidin Mohd Amin.

Md Ali dalam pada itu berkata DPMM FC teruja untuk beraksi dalam saingan Liga-M yang mempunyai jenama besar serta ramai peminat di negara itu.

“Insya-Allah kita akan berusaha untuk menandingi kelab seperti Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor. Mungkin pada permulaan kita akan bergelut sedikit kerana kita telah lama meninggalkan Liga Malaysia, (namun) kita akan cuba beri saingan sengit termasuk kepada semua kelab (dalam liga),” katanya.

Justeru, beliau berharap agar kualiti pemain dapat dipertingkatkan lagi dan memperkukuh hubungan dua hala antara dua negara menerusi penyertaan DPMM FC dalam Liga-M.

Sementara itu, Mohd Shazli berkata penyertaan DPMM FC menjadikan keseluruhan 14 kelab yang akan beraksi dalam kempen Liga Super musim 2025-2026 setakat ini.

“Bagi MFL, kehadiran DPMM FC sebagai satu nilai tambah kepada Liga Malaysia dan semua peminat tempatan sedia maklum, sejarah yang pernah ditinggalkan Brunei.

“… pastinya dengan kehadiran mereka akan menjadikan Liga Malaysia lebih kompetitif dan mempunyai nilai komersial,” katanya.

MFL sebelum ini dipetik berkata DPMM FC akan bertindak sebagai kelab jemputan selepas mendapat kelulusan daripada FIFA.

Menurut MFL, kelab itu bukan nama baharu dalam pertandingan bola sepak tempatan kerana pernah menyertai Piala Malaysia pada tahun 1979 dan kemudiannya menyertai Liga Semi-Pro pada 1989.

Pasukan itu juga memenangi Piala Malaysia 1999 selepas menewaskan Sarawak 2-1 di Stadium Merdeka dan menamatkan saingan Liga Super 2005-2006 di tangga ketiga.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan