KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) menyambut ulang tahun ke-23 dengan pencapaian penting meraikan penumpang ke-130 juta bagi perkhidmatan KLIA Ekspres, menekankan komitmen berterusan dalam menyediakan perkhidmatan kereta api lapangan terbang yang pantas, boleh dipercayai dan selesa sejak 2002.
ERL dalam kenyataan memaklumkan sambutan berkenaan diadakan di KL Sentral semalam dan penumpang bertuah itu ialah Nagwa Kamal dari Indonesia, yang kini berada di Kuala Lumpur untuk bercuti.
“Penumpang ke-130 juta dikenal pasti berdasarkan unjuran data bilangan penumpang dan pemenang telah memenangi pakej hadiah istimewa yang ditaja oleh rakan kongsi,” menurut kenyataan itu.
Pakej berkenaan termasuk penginapan satu malam di bilik Executive Deluxe JW Marriott Kuala Lumpur, lawatan sebelah malam untuk dua orang menaiki Hop-On Hop-Off KL City of Lights, tiket masuk untuk dua orang ke dek pemerhatian dan bufet makan tengah hari di Restoran Orbit di Menara Kuala Lumpur, perkhidmatan sehala VIP KLIA Ekspres untuk dua orang, model eksklusif tren KLIA Ekspres dan barangan lain.
“Saya benar-benar terkejut dan tidak pernah membayangkan saya akan menjadi penumpang ke-130 juta KLIA Ekspres. Ini adalah detik istimewa bagi saya, terutamanya kerana ini adalah kali pertama saya membawa anak sulung saya bersama. Saya rasa dia membawa sedikit tuah kepada kami hari ini,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada sambutan berkenaan, ERL turut menyampaikan penghargaan kepada penumpang harian KLIA Transit ke-13,000 semalam, Siti Azieyatul Elliya Azian yang merupakan mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Bandaraya Melaka.
Beliau menerima hadiah termasuk empat tiket sehala standard KLIA Ekspres, penginapan satu malam di Capri by Fraser di Bukit Bintang, lawatan sebelah malam untuk dua orang menaiki Hop-On Hop-Off KL City of Lights, tiket masuk untuk dua orang ke dek pemerhatian dan bufet makan tengah hari di Restoran Orbit di Menara Kuala Lumpur, model eksklusif tren KLIA Ekspres dan barangan lain.
Bagi Siti Azieyatul Elliya, beliau tidak pernah menyangka perjalanan semalam akan menjadikannya penumpang ke-13,000 KLIA Transit.
“Saya biasanya menaiki KLIA Transit apabila pulang untuk cuti semester kerana ia mudah dan selesa. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pengurusan ERL atas kejutan yang indah ini,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif ERL Yeow Wei Wen berkata pencapaian meraih penumpang ke-130 juta mencerminkan kepercayaan dan kesetiaan pelanggan sepanjang 23 tahun lepas.
“Kami berbesar hati menjadi sebahagian daripada begitu banyak perjalanan dan terus komited untuk meningkatkan pengalaman perjalanan bagi semua. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan kongsi kami atas penajaan hadiah untuk acara hari ini,” katanya.
Untuk maklumat lanjut mengenai promosi dan tawaran, layari www.KLIAekspres.com. Orang ramai juga boleh menghubungi talian Khidmat Pelanggan ERL di 03-2267 8000 (Isnin hingga Jumaat, 8.30 pagi-6 petang) atau mengunjungi laman Facebook dan X KLIA Ekspres.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial